Perlu kenal pasti punca perubahan undi tentera, Felda, pinggir bandar - Utusan Malaysia

Perlu kenal pasti punca perubahan undi tentera, Felda, pinggir bandar

AMINUDDIN Harun pada sidang akhbar di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Walaupun Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh kemenangan dua pertiga bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) beberapa perkara yang mendorong terlepasnya lima kerusi kepada Perikatan Nasional (PN) perlu diberikan perhatian selepas ini.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia termasuklah mengenai perubahan sokongan yang diberikan dalam kalangan anggota tentera serta jumlah undi yang diterima di kawasan Felda dan di pinggir bandar yang diketahui sebelum ini menjadi kubu buat PH dan BN.

“Masih terlalu awal untuk buat post-mortem, namun walaupun tidak dapat seperti yang disasarkan (36 kerusi) tetapi masih menunjukkan bahawa kami mendapat sokongan amat baik, walaupun dua tempat yang kita boleh lihat iaitu ramai pengundi tentera di (DUN) Gemas dan Bagan Pinang, itu satu faktor.

“Ada beberapa tempat, satu kawasan Felda, kawasan dalam pinggir bandar yang selalunya jadi kubu kita tetapi gagal dipertahankan, ia jadi satu amaran kepada kita, bagaimana untuk kenal pasti punca kekalahan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Selepas tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri semalam, PH dan BN berjaya membentuk kerajaan Negeri Sembilan apabila menang dengan majoriti dua pertiga daripada 36 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

PH menang sebanyak 17 buah kerusi DUN dan BN menang di 14 buah kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) menang sebanyak lima buah kerusi.

Lima kerusi dimenangi oleh PN itu adalah di Serting, Paroi, Labu, Bagan Pinang dan Gemas.

Sementara itu, Aminuddin yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Sikamat memberitahu peratusan keluar mengundi di negeri ini yang tidak mencapai 70 peratus agak memeranjatkan kerana respon mereka yang pulang dari luar untuk mengundi pada malam sebelum agak baik.

“Tetapi semalam (pusat pengundian) cukup tenang, hairan apa yang telah berlaku, kawasan perumahan juga tidak banyak pergerakan daripada penduduk, tidak tahu apa punca mereka tidak keluar mengundi

“Mungkin mereka telah undi pada pilihan raya umum yang lalu, pengajaran daripada ini adalah selepas ini pilihan raya umum dan PRN boleh disekalikan, berikan kemudahan untuk rakyat,” tambahnya.

Peratus pengundian di Negeri Sembilan semalam mencatatkan sebanyak 68.35 peratus.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya