Penggantian paip capai kemajuan 20 peratus, siap menjelang 2025 - Utusan Malaysia

Penggantian paip capai kemajuan 20 peratus, siap menjelang 2025

MOHAMAD FAZLI MOHAMAD SALLEH (dua dari kiri) meninjau kerja-kerja penggantian paip lama di Jalan Tan Hiok Nee, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Langkah kerajaan negeri mengganti kira-kira 6,000 kilometer (km) saluran paip lama bawah tanah kini mencapai kemajuan hampir 20 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, projek yang menelan kos RM935 juta itu melibatkan paip lama sepanjang 1,000 km di daerah Johor Bahru bagi mengatasi isu kebocoran dan kerosakan paip yang berusia lebih 40 tahun.

“Bagi fasa pertama melibatkan kerja penukaran paip di pusat bandar, kawasan perumahan yang lama seperti di Taman Ungku Tun Aminah. Kita jangka projek ini berjalan mengikut jadual dan siap sepenuhnya menjelang 2025.

“Ini merupakan satu hala tuju kerajaan negeri untuk pastikan paip-paip lama di seluruh negeri ini supaya tiada air terbazir melalui paip pecah dan bocor terutamanya di bawah tanah yang sudah lama tidak diganti,” katanya selepas meninjau kerja-kerja penggantian paip di Jalan Tan Hiok Nee di sini.

Yang turut hadir, Ketua Divisyen Perancangan dan Pembangunan Ranhill SAJ Sdn. Bhd., Tuan Sanusi Asmadi Tuan Hamat.

Pada Oktober tahun lalu, kira-kira 120,000 akaun pengguna di sekitar Pasir Gudang mengalami gangguan bekalan air susulan kejadian paip pecah ketika kerja-kerja pemasangan paip utama yang dijalankan berhampiran Persiaran Seri Alam, Masai.

Mohamad Fazli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir memberitahu, penggantian paip baharu itu diberikan keutamaan di kawasan lebih kritikal seperti mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, pusat bandar dan taman perumahan.

“Alhamdulillah, projek ini berjalan lancar dengan pemantauan secara rapi oleh pihak Ranhill SAJ serta kerajaan negeri.

“Kita tidak terus tukar paip lama untuk pemasangan kerana ia akan menyebabkan gangguan kepada pemegang akaun yang ramai. Kita buat paip baru dahulu dan akan tukar sistem paip lama ke baharu supaya tidak ramai yang terlibat dengan gangguan bekalan air,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN