Pengasuh didenda RM40,000, bon berkelakuan baik, jalani khidmat masyarakat - Utusan Malaysia

Pengasuh didenda RM40,000, bon berkelakuan baik, jalani khidmat masyarakat

NURUL SHAHIRA A'SHIQIN SULAIMAN ditemani suaminya didenda sebanyak RM40,000, dikenakan bon berkelakuan baik dan menjalani khidmat masyarakat selepas mengaku bersalah cuai terhadap dua bayi dalam jagaannya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pengasuh didenda RM40,000, dikenakan bon baik selama dua tahun serta menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam dalam tempoh enam bulan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkelakuan cuai terhadap dua bayi dalam jagaannya, Mac lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim turut memerintahkan tertuduh, Nurul Shahira A’shiqin Sulaiman, 28, dikenakan hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan,  Nurul Shahira A’shiqin  yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki sembilan bulan telah bertindak cuai dengan cara yang mungkin mengakibatkan kecederaan kepada kedua-dua bayi tersebut di sebuah taska di Jalan Utama 34, Taman Mutiara Rini, di sini kira-kira pukul 1 petang, Mac lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam bela tertuduh, Syufri A. Samad meminta mahkamah memberikan hukuman ringan kepada Nurul Shahira A’shiqin kerana tertuduh sudah insaf dan menyesal atas perbuatannya.

“Tertuduh kini tidak lagi bekerja dan tiada sebarang pendapatan kecuali bergantung kepada suaminya yang bekerja kilang dengan pendapatan RM2,000 sebulan. Mereka turut menanggung ibu bapa yang telah berusia.

“Sejak didakwa pada 21 Mei lalu, berita ini telah mendapat liputan luas media sehingga dia dicemuh masyarakat, tertuduh juga telah mengaku bersalah sejak awal pendakwaan, sekali gus menjimatkan masa dan kos mahkamah.

“Difahamkan, kedua-dua bayi terlibat juga tidak mempunyai sebarang kesan kecederaan fizikal. Oleh itu, saya memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepada tertuduh,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat, khususnya pengusaha taska.

“Mangsa dalam kes ini adalah dua bayi yang ‘vulnerable’ dan ‘defenseless’, mereka memerlukan penjagaan dan perlindungan daripada individu dewasa apatah lagi orang yang telah diberikan amanah,” katanya.

Sebelum ini, tular dua rakaman video berdurasi 48 saat dan 39 saat memaparkan seorang wanita mengasari seorang bayi dengan menepuk kepala bayi terbabit yang sedang menangis selain turut me niup ke arah muka bayi tersebut sehingga menyebabkan bayi itu sukar bernafas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya