Pengajaran Hadis 40 jamin kestabilan, keharmonian kaum - Anwar - Utusan Malaysia

Pengajaran Hadis 40 jamin kestabilan, keharmonian kaum – Anwar

ANWAR IBRAHIM (tengah) mengadakan pertemuan dengan kepimpinan kerajaan perpaduan peringkat negeri Johor, di Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu masyarakat bukan Islam di negara ini memahami kepentingan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah seluruh negara.

Menurutnya, perkara itu berkait secara langsung dengan kestabilan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama, khususnya pada masa depan.

“Pengajaran 40 hadis ulama itu sebagai asas untuk orang Islam terutamanya anak muda, ia penting bagi mereka kuasai dan fahami Islam, jadi jangan salah faham sebab kita bukan paksa (murid) bukan Islam.

“Keduanya, kalau ilmu setakat yang ada sekarang, jadi orang ingat tindakan maki hamun, cerca dan fitnah itu dianggap sebagai sebahagian daripada Islam. Sebab itu penyelesaian adalah mendalami ilmu Islam yang bersandar kepada al-Quran dan kupasan ulama muktabar,” katanya selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Malaysia Bersama Pimpinan Kerajaan Perpaduan Negeri Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Justeru, Anwar berharap isu berkenaan tidak lagi diungkit khususnya oleh wakil-wakil masyarakat bukan Islam di negara ini.

“Saya harap dengan penjelasan ini tidak akan berbangkit kecurigaan dalam sistem pendidikan kita. Sebahagian tidak suka Islam diajar, sebahagian lagi gunakan Islam tetapi tidak dengan dasar ilmu.

“Oleh itu, kita kena cari jalan sebenar, iaitu untuk beri kefahaman Islam kepada orang Islam dan tidak paksa sesiapa (bukan Islam),” katanya.

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya turut meminta masyarakat bukan Islam faham bahawa itu merupakan satu kaedah menyelamatkan masa depan negara ini.

“Kita tiada pilihan untuk selamatkan negara melainkan anak-anak masyarakat Islam diberi didikan dan kefahaman agama yang sebenar, jika tidak kita akan letakkan anak-anak kita kepada mangsa lebai yang dianggap mempunyai autoriti,” tegasnya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan akan memulakan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah bertujuan memupuk semangat ihsan, kasih sayang.

Menurutnya, langkah itu sebagai usaha memperkasakan kefahaman agama dalam kalangan guru dan murid beragama Islam dan akan dilaksanakan secara rintis melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 buah sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya