HULU SELANGOR: Kira-kira 200 penduduk di Kampung Melayu Bukit Tarik dekat Bukit Beruntung di sini masih menunggu bantuan kerajaan bagi membina jalan raya serta kemudahan bekalan elektrik dan air bersih.
Hampir dua tahun selepas Utusan Malaysia mendedahkan masalah penduduk di situ pada Oktober 2021, sejak itu terdapat beberapa siri pertemuan antara mereka dengan Kerajaan Persekutuan sepanjang 2022.
Malah, mereka juga menerima kunjungan wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) bagi menyediakan kemudahan bekalan elektrik dan air bersih di sana.
Bagaimanapun, penduduk terpaksa berputih mata apabila kunjungan yang memberi harapan tersebut akhirnya tidak membawa berita gembira kepada mereka di kawasan penempatan seluas kira-kira 324 hektar itu.
Mereka masih terpaksa melalui jalan tanah sejauh kira-kira empat kilometer untuk menghubungkan dengan jalan utama, menggunakan generator, bateri kereta dan panel solar untuk memperoleh bekalan elektrik serta menadah hujan bagi mendapatkan air bersih.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Kampung Melayu Bukit Tarik, Mamat Deraman berkata, jawatankuasa penduduk pernah mengusahakan penilaian pembinaan infrastruktur dalam kawasan kampung bernilai keseluruhan hampir RM30 juta dan dicadangkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada 2021.
“Antara yang dicadangkan dalam perancangan tersebut adalah pembinaan jalan sepanjang kira-kira tujuh kilometer dengan kos kira-kira RM500,000 dan sebuah jambatan merentasi Sungai Selangor dianggarkan menelan belanja sekitar RM7 juta.
“Jalan berkenaan dicadangkan dibina dengan menghubungkan kawasan kampung dengan jalan raya berhampiran persimpangan Plaza Tol Bukit Tagar, Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Itu yang sudah dikemukakan, namun kami masih menunggu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tinjauan pemberita mendapati kawasan masih seperti dahulu kecuali jumlah rumah terbiar yang semakin banyak selepas pemiliknya meninggal dunia dan pewaris tidak lagi tinggal di situ.
Dalam pada itu, Mamat memaklumkan pelbagai siri pertemuan dengan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan bagi memohon pembinaan kemudahan di sana, namun tiada jawapan yang menggembirakan diterima.
“Yang paling asas kami minta adalah kemudahan jalan kalau tak dapat jenis jalan bertar, dapat jalan ladang pun jadilah dengan harapan memudahkan kemasukan bekalan elektrik selepas itu, tetapi sampai sekarang kami masih menunggu.
“Bagi bekalan air pula, ketika pertemuan dengan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada November 2021, kami minta buatkan perigi di lima tempat sebab kos pasang paip untuk ambil air bersih dari luar pun mahal, pun belum ada lagi.
“Kami penduduk merayu kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri, bantulah. Kebanyakan kami adalah warga emas, pesara kerajaan tidak mampu untuk melakukan lebih daripada itu. Malah ada antara kami rumahnya sudah ‘menyembah bumi’ selepas pemiliknya meninggal dunia, kerana pewarisnya enggan tinggal di sini,” katanya.-UTUSAN