SIK: Dua ekor gajah liar yang ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) baru-baru ini tidak mampu menghilangkan kegusaran penduduk Kampung Belantik Dalam yang tetap risau kerana masih terdapat ancaman haiwan tersebut di sekitar itu.
Seorang penduduk, Abdul Kadir Che Ngah, 66, berkata, terdapat beberapa ekor lagi gajah liar masih berkeliaran di kawasan kampung itu dan telah merosakkan tanaman mereka.
“Sebelum dua ekor gajah liar yang ditangkap dan dipindahkan Perhilitan, masih ada beberapa ekor lagi gajah berkeliaran di kawasan kampung kami dan merosakkan tanaman serta hasil-hasil kebun diusahakan penduduk kampung.
“Kami ketakutan dan bimbang sekiranya gajah-gajah ini naik minyak dan mengamuk kerana dua ekor daripada kawanannya telah ditangkap dan dipindahkan dari sini,” katanya ketika ditemui di Kampung Belantik Dalam, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, sejak dua ekor haiwan itu ditangkap, seekor gajah jantan lain dipercayai daripada kawanan enam ekor yang masih berkeliaran dipercayai telah mengamuk merosakkan tanaman tebu, pisang, kelapa dan sebagainya di kampung itu.
“Kami juga sentiasa berada di dalam rumah bagi mengelak daripada bertembung dengan gajah liar yang mungkin mengancam keselamatan diri dan nyawa,” katanya.
Pemilik kebun tebu, Osman Jab, 48, berkata, hasil tanaman yang baru diusahanya sejak empat bulan lalu telah dimusnahkan oleh seekor gajah jantan yang berkeliaran di kawasan berdekatan dua ekor gajah yang berjaya ditangkap Perhilitan sebelum ini.
“Selepas tangkapan dua ekor gajah liar itu, salah seekor gajah jantan yang mungkin daripada kawanannya telah mengamuk dan memusnahkan hasil tanaman tebu dan pisang yang saya dan rakan tanam.
“Kami bimbang gajah-gajah liar ini datang semula ke kawasan ini dan merosakkan lebih banyak hasil tanaman penduduk kampung dan mungkin akan mengancam nyawa dan keselamatan serta harta benda penduduk,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri, Jamalul Nasir Ibrahim berkata, dua ekor gajah jantan berusia antara tujuh hingga lapan tahun dan seekor gajah betina berusia belasan tahun berjaya ditangkap pada Jumaat lalu setelah beberapa minggu berkeliaran di kampung itu.
“Setelah mendapat aduan penduduk kampung, pihak kami cuba menghalau kawanan gajah ini untuk masuk semula jauh ke dalam hutan, tetapi kawanan gajah yang lebih kurang enam atau tujuh ekor ini datang semula ke kawasan kampung mungkin untuk mendapatkan makanan.
“Tangkapan dilakukan pada Jumaat lalu dan berjaya menangkap dua ekor gajah liar sebelum kita memulakan operasi memindahkan haiwan ini ke habitat asal yang jauh dari penempatan penduduk dengan bantuan dua ekor gajah denak iaitu Kasturi dan Cary,” katanya.
Beliau juga menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati sekiranya terdapat kemunculan gajah liar di kawasan mereka dan segera hubungi pihak Perhilitan untuk tindakan lanjut selain tidak menggunakan kaedah sendiri untuk menghalaunya demi keselamatan.-UTUSAN