Penduduk Felda Lok Heng, Waha bantah projek tapak pelupusan sampah - Utusan Malaysia

Penduduk Felda Lok Heng, Waha bantah projek tapak pelupusan sampah

NORLIZAH NOH (tengah) bersama-sama penduduk gugusan Felda Lok Heng dan Felda Waha melakukan tinjauan di tapak pelupusan sisa pepejal sanitari yang akan dibina berhampiran Felda Lok Heng, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Bimbang bakal menyebabkan masalah pencemaran, penduduk di gugusan Felda Lok Heng, dekat sini membantah supaya projek pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal sanitari berhampiran penempatan mereka tidak diteruskan, apatah lagi dibina di kawasan limbungan Hulu Sungai Sedili Kecil. 

Seorang penduduk Lok Heng Timur, Rasid Che Harun, 49, berkata, tapak pelupusan sampah yang berkeluasan 180 hektar itu tidak sesuai kerana berdekatan dengan kawasan penempatan penduduk, iaitu hanya satu kilometer (km) dari tapak rumah generasi kedua Felda yang akan dibangunkan nanti.

“Memang kami membantah dan sangat tidak setuju dengan pembinaan tapak pelupusan sampah ini di Felda Lok Heng kerana akan memberi kesan bukan sahaja pada jangka masa pendek, malah jangka panjang.

“Dengan keluasan tapak 180 hektar, boleh bayangkan berapa banyak sampah yang akan dibuang di sini dengan kesan bau busuk dan kehadiran lalat. Itu belum lagi pencemaran air bersih kerana kawasan ini juga berdekatan dengan tali air yang mengalir terus ke Sungai Sedili Kecil yang membekalkan air bersih ke loji untuk kegunaan lebih 30,000 penduduk sekitar kawasan ini,” katanya ketika ditemui di tapak projek pelupusan sampah di Felda Lok Heng, di sini.

Penduduk Felda Lok Heng Barat, Muhammad Firdaus Marju, 39, yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Johor Bahru pula berkata, biarpun dijanjikan dengan penggunaan teknologi tinggi di tapak pelupusan sampah terbabit, pihaknya tetap membantah pembinaan terbabit.

“Kalau kononnya mahu membangunkan tapak pelupusan sampah berteknologi tinggi, kenapa tidak dibuat di kawasan sedia ada? Kawasan Felda ini telah 30 tahun kami duduki dan kami tidak mahu generasi akan datang mendapat kesan buruk,  Kami bukan tolak pembangunan, tetapi tolak pembinaan tapak pelupusan sampah yang hampir sangat dengan penempatan penduduk.

“Ini kali ketiga kami buat bantahan supaya projek ini tidak diteruskan, kami harap pihak berwajib tidak hanya memandang keuntungan semata-mata. Fikirkan kesan dan akibat kepada penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, penduduk Felda Waha, Mohd. Khairi Khairul Anuar, 35, turut meluahkan rasa sedih dan marah dengan projek terbabit kerana bimbang terjadi masalah pencemaran air.

“Kalau ikutkan Felda Waha memang jauh dari sini, tetapi kami berkongsi sumber aliran air bersih yang sama. Sekiranya berlaku pencemaran air, kami juga terkesan dan pihak berwajib perlu fikir dengan lebih mendalam sebelum melakukan apa-apa projek yang memberi kesan terhadap rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh berkata, masyarakat membantah projek itu kerana berdekatan dengan perumahan generasi kedua Felda yang boleh menjejaskan kesihatan dengan kehadiran lalat dan amat berdekatan dengan sungai yang akan melalui Felda Waha dan terus ke Sedili. 

“Saya mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan ketua kampung, ketua peneroka dan pengurus Felda dan mereka dukacita kerana tidak dibawa bincang langsung tentang projek ini dan bila penduduk bertanya mereka tidak dapat jelaskan hal sebenarnya. 

“Keadaan itu menimbulkan kemarahan. Selaku ADUN saya konsisten bersama masyarakat di Felda Lok Heng bantah projek ini dan sekiranya pihak berwajib hendak teruskan, saya harap harus ada sesi dialog dengan penduduk dan pemimpin di sini kenapa projek perlu diteruskan. 

“Bahkan saya sendiri tidak dimaklumkan tentang projek ini dan hanya tahu awal bulan lalu daripada pihak berkenaan selepas projek ini mendapat bantahan dan sangat tidak adil apabila ada bantahan baru hendak melibatkan saya,” katanya sambil memaklumkan akan berjumpa dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jafni Md. Shukor dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K.Raven Kumar dalam masa terdekat.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya