SEREMBAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan yang kini bertanding atas tiket Bebas, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek mendakwa penduduk tahu bahawa dirinya dianiaya apabila tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi tersebut.
Jelas beliau, sepanjang dirinya berkhidmat sebagai wakil rakyat di Ampangan pada penggal sebelum ini, banyak perubahan yang dibawa di situ malah telah menjalankan tugas dengan sebaik mungkin.
Oleh itu, beliau yakin pertembungan tiga penjuru yang berlaku di DUN Ampangan akan memihak kepada dirinya pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti.
“Rakyat Ampangan, warga Ampangan menyedari ini, apabila berjumpa dengan saya mereka tahu saya dianiaya, mereka bersimpati, apa yang berlaku kepada saya. Kini saya cukup bertenaga, berada dalam keadaan selesa kerana saya tahu saya dapat sokongan penuh majoriti penduduk di Ampangan.
“Alhamdulillah (semasa berkempen) orang tidak marah kepada saya, mereka peluk, orang tahu saya dianiaya, saya pergi ke mana-mana, orang bersimpati kepada saya, mereka tahu saya telah lakukan banyak perkara untuk memajukan Ampangan dan saya sentiasa bersama mereka.
“Masyarakat tahu, sebab itu hampir kesemua yang saya jumpa, tiada seorang pun yang serang saya, tiada yang keluarkan kata-kata tidak baik malah mereka menyatakan bahawa mereka memahami keadaan, sebab itu saya sangat berkeyakinan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, Mohamad Rafie yang merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri mendakwa namanya tidak dicalonkan sebagai calon PKR bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) di Ampangan atas arahan dua pemimpin berkepentingan dalam parti.
Dua pemimpin tersebut ialah Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun selepas dimaklumkan sendiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, ditanya akan berlakunya ‘pecah undi’ di antara penyokongnya dan pengundi PH sekali gus mendorong kemenangan kepada calon Perikatan Nasional (PN), beliau menggesa untuk pengundi memilih berdasarkan kredibiliti calon dan bukannya logo parti.
“Saya menyeru seluruh mengundi di enam buah negeri untuk tidak lihat logo parti sebaliknya lihat kemampuan individu berkenaan yang mampu memimpin negara. Kita mahu pastikan rakyat mempunyai hak untuk pastikan pemimpin mereka itu pemimpin berwawasan, jujur, beramanah dan tanggungjawab.
“Walaupun saya calon Bebas, saya masih boleh bawa pembangunan di Ampangan berdasarkan pengalaman dan pendidikan yang ada pada saya. Saya akan pastikan agenda melestarikan Ampangan terus dilaksanakan,” katanya lagi.
DUN Ampangan menyaksikan Mohamad Rafie dicabar calon PH iaitu Ketua Wanita PKR Cabang Seremban, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dan calon PN iaitu Ketua Bersatu Cawangan Gedong Lalang, Muhammad Ghazali Zainal Abidin (PN)-UTUSAN