Pembinaan jalan di Batu Kurau punca banjir lumpur

Pembinaan jalan di Batu Kurau punca banjir lumpur

KESAN banjir lumpur di halaman rumah penduduk Kampung Anak Kurau Seberang, Batu Kurau , Larut akibat pembinaan jalan berdekatan kampung tersebut. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Seramai 30 penduduk tujuh rumah di Kampung Anak Kurau Seberang, Batu Kurau di sini terpaksa berdepan banjir lumpur setiap kali hujan yang didakwa berpunca daripada pembinaan fasa kedua jalan baharu untuk laluan pintas Batu Kurau-Changkat Larah.

Penduduk berkata, masalah itu berlaku sejak setahun yang lalu apabila air dari kawasan projek pembinaan jalan itu mengalir ke kawasan rumah mereka.

Seorang penduduk, Azman Abdullah, 46, berkata, setiap kali hujan, air lumpur dari kawasan pembinaan yang jaraknya kira-kira 500 meter dari penempatan mereka mengalir ke parit kecil dan melimpah hingga ke halaman rumah.

Menurutnya, pembinaan jalan itu bermula setahun lalu dan dijangka siap pada 2025.

“Mengikut jangkaan siap lagi dua tahun, sekiranya pihak yang berkenaan masih lagi tidak mengambil tindakan segera, kami penduduk di sini terpaksa menanggung kesengsaraan dan kerugian disebabkan banjir lumpur ini.

“Aduan sudah dibuat kepada pelbagai agensi yang berkaitan dan mereka datang melihat kesan banjir lumpur namun hingga kini tiada tindakan diambil,” katanya.

Rodiah Ariffin, 72, berkata, ini kali pertama kejadian banjir lumpur berlaku di kampung itu sejak pembinaan jalan itu bermula.

Katanya, banjir lumpur bukan hanya masuk ke halaman rumah malah masuk ke dalam rumah hingga paras lutut.

“Setiap kali hujan dan air lumpur masuk ke dalam rumah, anak-anak akan menyuruh saya naik ke atas katil. Peralatan rumah juga ada yang rosak dan ada yang dipenuhi pasir lumpur,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Muafakat Komuniti Kawasan Larut, Ahmad Hasbullah Elias berharap pihak yang berkaitan dalam pembinaan jalan tersebut memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi penduduk kampung.

“Jangan biarkan penduduk terus mengalami kesusahan disebabkan air banjir lumpur, masalah ini perlu tindakan segera untuk menyelesaikannya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya