Pembangkang main isu agama, kaum seperti sebelum 1969 - Mat Sabu - Utusan Malaysia

Pembangkang main isu agama, kaum seperti sebelum 1969 – Mat Sabu

MOHAMAD SABU (tengah) dan beberapa pemimpin PH menghadiri Majlis Pelancaran Bilik Gerakan P161 Pulai di Perling, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Strategi Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan sikap ektremis untuk menarik sokongan, khususnya dalam isu agama dan kaum dibimbangi akan menyebabkan berlaku pergeseran perkauman seperti sebelum tahun 1969.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berharap rakyat, khususnya rakyat Johor dan pengundi Parlimen Pulai tidak terpengaruh dengan permainan licik pembangkang.

Menurutnya, ketegangan antara kaum sebelum tahun 1969 telah berjaya dikawal namun situasi politik semasa dilihat semakin kembali ke arah itu khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tahun lalu.

“Menjelang PRU15, politik perkauman dilihat telah muncul semula dan kali ini lebih hebat, kononnya agama Islam dan kaum Melayu terancam. Perkara ini dimainkan besar-besaran seperti sebelum 1969 dan tidak dinafikan strategi itu mendapat sambutan khususnya dalam kalangan generasi muda, apatah lagi dengan Undi-18.

“Namun saya percaya, sambutan ini hanyalah bersifat sementara yang bertujuan untuk memerangkap rakyat. Strategi politik seperti Melayu dan Islam terancam, DAP komunis hanya terpakai di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis,” katanya ketika melancarkan Bilik Gerakan P161 Pulai di Perling, di sini malam ini.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut yakin rakyat negeri ini bijak dalam membuat pilihan parti politik mana untuk mentadbir negara ke arah masa depan lebih baik.

“Saya yakin gelombang hijau tidak akan melintas ke negeri ini kerana rakyat Johor telah lihat pembangunan hebat yang berjalan dengan baik dan memberikan faedah kepada rakyat. Saya yakin Johor akan menjadi benteng paling hebat buat kerajaan perpaduan, kerana itu kita perlu bekerja keras dan memastikan calon kerajaan perpaduan menang dengan bergaya dalam PRK Parlimen Pulai ini,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu keputusan kepimpinan PH menjalin kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) adalah untuk menyelamatkan kestabilan negara serta memastikan perkembangan ekonomi berterusan.

“Kerjasama PH dan BN adalah satu perkembangan politik terbaik yang berlaku dalam negara ini. Jika ikutkan dendam peribadi, saya lawan dengan BN selama 44 tahun, tetapi dalam keadaan tiada parti dapat bentuk kerajaan, kita bertindak atas kematangan politik.

“Memang dasar Madani yang diperkenalkan belum sampai sepenuhnya kepada rakyat bawah, kerana baharu berusia lapan bulan, tetapi jika diberikan sedikit masa lagi saya yakin rakyat akan faham,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya