Pelantikan Exco Negeri Sembilan diselesaikan minggu ini - Utusan Malaysia

Pelantikan Exco Negeri Sembilan diselesaikan minggu ini

AMINUDDIN Harun disambut para penyokongnya selepas dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memberitahu, seramai 10 orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri akan dilantik dan perkara tersebut akan diselesaikan minggu ini.

Beliau berkata, kesemua yang dilantik akan terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kesemua parti dalam Kerajaan Perpaduan dan ia akan dimuktamadkan selepas rundingan di antara semua parti terlibat diadakan.

“Insya-Allah selepas ini tugas kita untuk melantik Exco kerajaan negeri seramai 10 orang, pelantikan ini kita akan rundingkan dengan kesemua parti.

“Selepas ini bincang nisbah pembahagian selepas dipersetujui pucuk pimpinan, saya serahkan kepada parti masing-masing untuk melantik dan mencadangkan nama-nama mereka. Sudah pasti saya perlukan gandingan muka baharu dan lama bagi demi kelangsungan supaya ada penerusan kepada tugasan-tugasan,” katanya.

Aminuddin berkata demikian dalam sidang akhbar Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus di Seri Menanti di sini hari ini.

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus di Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada istiadat itu memberikan perkenan pelantikan Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Aminuddin berjaya mempertahankan kerusi DUN Sikamat selepas menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelmarin dengan majoriti sebanyak 2,662 undi.

Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Ahmad Raihan Muhamad Hilal dan dua calon Bebas iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin.

Aminuddin dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan buat penggal kedua selepas PH-BN memenangi sebanyak 31 kerusi daripada keseluruhan 36 buah kerusi DUN sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Sementara itu, beliau memberitahu, tiada perbincangan setakat ini untuk jawatan Timbalan Menteri Besar diwujudkan.

“Belum bincang pasal Timbalan Menteri Besar, kalau tidak perlu tidak bincang tentang perkara itu,” katanya yang turut memberitahu Speaker DUN masih lagi menjalankan tugas ketika ini sehingga majlis angkat sumpah Speaker pada persidangan DUN akan datang.

Sementara itu, bagi lima DUN yang dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN), Aminuddin menegaskan pihak pembangkang perlu memikirkan bagaimana mahu membantu rakyat di kawasan terlibat

“Dia (PN) menang kan, biarlah dia fikir dahulu. Kita selesaikan kerja kita dulu. Dia boleh bincang dengan kita selepas itu dan bergantung kepada perbincangan,” katanya.

Pada PRN kelmarin, PN menang di kerusi Serting, Paroi, Labu, Bagan Pinang dan Gemas.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya