Pelaburan Infineon: Rakyat boleh semak siapa yang berbohong - PM

Pelaburan Infineon: Rakyat boleh semak siapa yang berbohong – PM

ANWAR Ibrahim (dua dari kanan) memperkenalkan calon-calon Pakatan Harapan (PH) sewaktu Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Taman Hidayah, Hutan Kampung, Alor Setar, malam ini. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Rakyat boleh menyemak sendiri kesahihan maklumat berhubung keputusan pelaburan tambahan oleh pelabur dari Jerman, Infineon Technologies AG (Infineon) di Kulim seterusnya boleh menilai siapa sebenarnya yang berbohong seperti dibangkitkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat boleh membuat semakan itu hanya menerusi carian di dalam talian bagi melihat sama ada beliau atau Muhammad Sanusi yang berbohong.

Beliau berkata, pihaknya bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz sebelum ini telah dikunjungi oleh pengurusan syarikat itu di Putrajaya bagi membincangkan mengenai pelaburan tambahan tersebut namun tiada sebarang keputusan dibuat pihak terlibat ketika itu.

“Mereka (Infineon) belum membuat keputusan ketika itu dan semua orang boleh cuba buat carian sendiri di mana pihak terlibat baru sahaja memutuskan mengenai pelaburan itu 10 hari lalu sewaktu mesyuarat lembaga pengarah mereka di Jerman.

“Malah sewaktu pihak pengurusan mereka datang bertemu saya sebelum ini, kita hanya keluarkan kenyataan kemungkinan mereka akan melabur kerana pihak terlibat maklumkan keputusan berhubung perkara ini perlu melalui mesyuarat lembaga pengarah di sana (German) terlebih dahulu,” katanya berucap dalam ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Taman Hidayah, Hutan Kampung, di sini, malam ini.

Muhammad Sanusi sebelum ini mendakwa bahawa syarikat Infineon di Kulim telah memaklumkan kepada kerajaan negeri sejak tahun lepas untuk membuat pelaburan tambahan di Kedah.

Kata Muhammad Sanusi, Infineon ketika itu turut memohon tanah tambahan di belakang kilang sedia ada bagi tujuan pelaburan baharu tersebut.

Dalam pada itu, Anwar turut mempersoalkan mengenai kenyataan Sanusi sebelum ini berhubung pementeraian perjanjian ditandatangani oleh Menteri Besar Kedah itu pada dua tahun lepas bersama syarikat berkenaan.

“Saya tak tau apa yang dia tandatangan itu kerana sebagai Perdana Menteri, saya tidak boleh berbohong sebab orang boleh buat semakan pada bila-bila masa,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata, menerusi pertemuan dengan pengurusan syarikat berkenaan, pihak terlibat turut membangkitkan beberapa persoalan sebelum memutuskan untuk membuat pelaburan baharu di Kedah bernilai RM25 bilion itu.

Katanya, antara persoalan dibangkitkan pihak terlibat adalah mengenai kestabilan kerajaan Perpaduan, dasar ekonomi Madani dan cubaan pihak tertentu untuk mengubah dasar berkenaan.

“Namun saya telah memberi penjelasan sewajarnya kepada pihak terlibat dan kemudiannya barulah mereka yakin dengan jaminan diberikan ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya