Peguam sanggup wakili keluarga murid dirotan tanpa bayaran - Utusan Malaysia

Peguam sanggup wakili keluarga murid dirotan tanpa bayaran

R. SANGARAN menawarkan bantuan guaman tanpa syarat dan pro bono kepada keluarga murid yang cedera dirotan di sebuah SJKT di Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Seorang peguam sedia memberikan bantuan tanpa syarat dan pro bono (tanpa) bayaran bagi mewakili keluarga murid yang cedera dirotan oleh seorang guru besar pada 18 Julai lalu.

Sangaran, 30, menawarkan khidmatnya untuk membantu menguruskan kes tersebut sehingga selesai kepada ibu murid yang dirotan, A. Saraswathy, 41, bagi menuntut pembelaan untuk anak lelakinya yang berusia 11 tahun itu.

“Saya simpati terhadap tragedi yang menimpa keluarga Saraswathy dan sedang berbincang perkara itu bersama keluarganya untuk dibawa ke muka pengadilan. Dia berhak menuntut keadilan akibat kecederaan anaknya dan segala maklumat berkaitan insiden dirotan hingga cedera oleh guru besar tersebut turut sedang dalam siasatan pihak polis,” katanya dalam sidang media di Bandar Utama, di sini hari ini.

Dia yakin kes dapat diselesaikan bagi memberi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan murid.

“Sebagai guru, mereka perlu mempunyai kesedaran mengenai batas merotan terutamanya ketika sesi pembelajaran supaya emosi kanak-kanak yang sedang mengikuti sesi pembelajaran tidak terganggu.

“Dalam apa jua situasi, perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku kerana ia menunjukkan sikap yang tidak baik. Keluarga murid berharap pihak Kementerian Pendidikan dapat mengambil tindakan tegas terhadap guru terbabit kerana perbuatan merotan sehingga mencederakan itu adalah penderaan fizikal dan emosi kepada anak murid,” katanya. 

Sementara itu, Saraswathy berkata, anaknya kini beransur pulih dan tidak lagi mengalami kemurungan.

“Dia telah kembali ke sekolah sejak seminggu lalu dan saya turut dimaklumkan guru besar wanita terbabit tidak lagi bertugas di sekolah berkenaan. Kami sudah lama berhasrat untuk membawa kes ini ke mahkamah supaya semua pihak dapat mengelakkan kejadian sama berulang.

“Peguam sudah menawarkan diri tanpa sebarang bayaran selepas kami sekeluarga membuat keputusan mengambil tindakan undang-undang, namun tertangguh sebelum ini disebabkan tidak berkemampuan. Pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) hanya jumpa saya sekali saja selepas kejadian,” kata ibu tunggal tersebut.

Pada 20 Julai lalu, media melaporkan seorang murid lelaki tahun lima di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), di sini cedera pada badan dan muka selepas didakwa dirotan guru besar kerana tidak menyiapkan kerja sekolahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya