KUANTAN: Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) menyasarkan untuk menanam durian jenis musang king dan damak king di atas tanah seluas 198 hektar di Chegar Perah, Lipis dekat sini, awal tahun depan.
Pengerusi Jemaah Pengarah Pasfa, Datuk Zamri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 40 hektar akan ditanam damak king yang begitu mendapat permintaan tinggi oleh peminat raja buah tersebut pada ketika ini.
“Sasaran kita di Chegar Perah itu nanti untuk eksport. Ini kerana kita mahu menyahut seruan kerajaan untuk memberikan tumpuan kepada aspek sekuriti makanan.
“Dengan cara ini (eksport) kita akan menambah pendapatan Pasfa, negara China misalnya, permintaan terhadap musang king begitu tinggi,” katanya dalam sidang akhbar pada program Moh Kendurian Pasfa di Ladang Kampung Mahkota di sini hari ini.
Dalam pada itu Zamri berkata, Pasfa sudah melaksanakan Projek Pertanian Bercampur seluas 20 hektar di ladang Kampung Mahkota di sini bagi meningkatkan hasil pertanian selaras dengan kehendak kerajaan yang mahu sektor pertanian menjadi sumber kekayaan baharu (SKB) kepada rakyat.
Katanya, sehingga kini, Pasfa sudah menanam lebih 600 pokok durian di ladang tersebut membabitkan jenis musang king, duri hitam dan IOI.
“Selain cara tradisional, Pasfa menggunakan teknologi terkini, pembajaan mengikut jadual seperti mana disyorkan untuk memastikan hasil lumayan dan berdaya saing dalam sektor tanaman durian.
“Pada musim ini Pasfa menjangkakan ladang Kampung Mahkota akan mengeluarkan lebih 11 tan buah durian dengan anggaran pendapatan RM150,000,” katanya. – UTUSAN