Pasar basah di Semporna dikesan jual spesies marin terancam

Pasar basah di Semporna dikesan jual spesies marin terancam

IKAN pari dinamakan manta rays yang kini disenarai sebagai 'terancam', oleh Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan menjual spesies marin terancam secara terbuka dikesan berlaku di pasar basah di Semporna, Sabah yang menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk dan aktivis alam sekitar. 

Tular dalam media sosial beberapa jenis spesies marin antaranya ikan pari yang dikenal pasti sebagai manta rays yang kini disenarai sebagai ‘terancam’.

Terdapat juga laporan bahawa spesies itu adalah Devil rays atau Mobula mobular yang kini disenarai sebagai ‘terancam’ oleh Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) dengan trend ‘penurunan’ populasi. 

Selain itu, spesies marin lain yang turut dikesan dijual ialah ikan jerung (black tip shark) yang dianggap ‘hampir terancam kepupusan’ akibat penangkapan yang berlebihan dan kemusnahan habitatnya. 

Turut dikenal pasti ialah ikan jerung (bamboo shark) yang dijual di sana. 

Perkara itu dikongsi pengguna akaun Facebook, Luma Duyung Semporna beserta beberapa kepingan gambar memaparkan haiwan berkenaan dijual secara terbuka dan seolah-olah menjadi kelaziman bagi penjual di kawasan itu. 

Orang awam dan komuniti penyelam bimbang ‘pembunuhan’ spesies-spesies itu bagi tujuan komersial dan hidangan harian penduduk setempat akan membawa kepada kerosakan ekosistem marin. 

Lebih memburukkan keadaan jika berlaku kepupusan spesies dalam jangka masa panjang sekiranya tiada kawalan daripada pihak berkuasa. 

Sementara itu, Presiden Kelab Skuba Sabah, Sim Fui dalam kenyataan berkata, penyelam skuba dan pelancong sering menantikan kemunculan spesies berkenaan. 

Bagaimanapun, aktiviti komersial terhadap haiwan tersebut menjejaskan usaha konservasi dan pelancongan lestari.  

“Kita perlukan penguatkuasaan lebih kuat dan hukuman berat terhadap mereka yang terlibat dalam penangkapan serta perdagangan haram spesies marin terancam.

“Sudah tiba masanya untuk mengadakan program kesedaran dan menyediakan mata pencarian alternatif bagi komuniti tempatan bagi memastikan spesies-spesies berkenaan tidak berakhir di pasar basah. 

“Jika tidak, amalan menjual spesies marin berharga ini akan menyebabkan impak jangka panjang terhadap kepelbagaian marin dan industri penyelaman,” katanya.

Pada Mei lalu, agensi berita antarabangsa melaporkan, hampir separuh daripada spesies haiwan di permukaan dunia sedang mengalami penurunan populasi.

Kajian itu mendapati 48 peratus spesies di bumi sedang mengalami penurunan dalam saiz populasi manakala kurang daripada tiga peratus daripada spesies itu semakin meningkat dalam saiz populasinya.

Tahap kepupusan spesies secara tradisinya diukur oleh kategori IUCN yang mendapati bahawa 28 peratus kehidupan di bumi kini diancam kepupusan.

Penyelidik mendapati tahap krisis kepupusan adalah jauh lebih teruk daripada yang ditunjukkan oleh pengukuran tradisional berdasarkan kategori ancaman.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya