KOTA BHARU: Pas mengajak UMNO untuk bekerjasama sebelum ini disebabkan perjuangan parti itu lebih dekat dengan mereka.
Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, UMNO menjadikan agama, bangsa dan tanah air sebagai perjuangan mereka manakala Pas meletakan Islam asas sekali gus mewujudkan persamaan antara kedua-dua parti tersebar Melayu itu di negara ini.
“Sebab itulah Pas menganjurkan perpaduan, kita ajak parti besar Melayu iaitu UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bersama-sama. Pas ajak Bersatu bersama kerana parti itu asalnya daripada perjuangan UMNO.
“Malangnya UMNO menolak, mereka kekal nak jadi pemerintah. Disebabkan itu, UMNO berpecah kerana pemimpin utama dari dari dasar perjuangan. Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, kita dapat lihat perubahan politik apabila orang muda memberi undi kepada Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas dan Bersatu,”katanya semasa Ceramah Umum Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor di sini malam tadi.
Ahli Parlimen Marang itu memberitahu, hasilnya PN menang 73 kerusi Parlimen daripada 169 kerusi yang ditandingi mereka pada PRU-15 lalu.
Katanya, bagaimanapun Pakatan Harapan yang didominasi bukan Melayu menang 82 kerusi Parlimen.
“Hasil gerakan politik dan berjaya meraih undi besar, PN telah mengajak UMNO untuk berbincang bagi mewujudkan sebuah kerajaan campuran namun ditolak. Contoh di Perak, Pas mendapat jumlah kerusi yang banyak dan kita mengajak UMNO untuk bergabung membentuk kerajaan campuran namun ditolak oleh UMNO kerana mahu bergabung dengan DAP dan menjadi Menteri Besar.
“Begitu juga di pahang, kita ajak UMNO bergabung dan menawarkan UMNO jadi Menteri Besar tapi ditolak kerana UMNO kata kalau bergabung dengan Pas akan ‘bunuh’ UMNO. Itu fahaman yang salah,”katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi turut menyifatkan ideologi yang dibawa oleh DAP adalah sangat melampau menyebabkan parti itu tidak mahu bekerjasama dengan DAP.
DAP membawa dasar sekularisme iaitu memisahkan agama daripada politik. PKR pula macam lalang apabila mengikut angin, manakala Parti Amanah Negara (Amanah) perjalanan politiknya seolah-olah diatur oleh DAP dan PKR. Kita tidak mengajak parti ini untuk bekerjasama,” katanya.-UTUSAN