Notis kekosongan DUN Pelangai diserah kepada SPR - Utusan Malaysia

Notis kekosongan DUN Pelangai diserah kepada SPR

MOHD. SHARKAR Shamsudin (tiga dari kiri) menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Pelangai kepada Zamree Hamli (dua dari kanan) di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Pelangai kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Notis itu diserahkan Mohd. Sharkar kepada Pengarah SPR negeri, Datuk Zamree Hamli.

Surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Pelangai itu diserahkan ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat terhempas mengorbankan 10 mangsa di Elmina, Seksyen U16 di Shah Alam, Selangor, Khamis lalu.

Mohd. Sharkar berkata, sebagai Yang Dipertua DUN, pihaknya sudah memaklumkan kepada SPR tentang notis kekosongan DUN N36 Pelangai.

“Kerajaan negeri perlu memaklumkan kekosongan kerusi DUN Pelangai kepada SPR supaya Pilihan Raya Kecil (PRK) dapat diadakan.

“Kini terserah kepada SPR untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya Yang Dipertua DUN di sini hari ini.

Dalam kejadian Khamis lalu, pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Langkawi, pada pukul 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan pukul 2.40 petang.

Selain dua juruterbang pesawat dan lima lagi penumpang, dua lagi yang terbunuh ialah seorang penunggang motosikal serta pemandu kereta yang ketika kejadian melalui kawasan terbabit.

Johari yang kali pertama bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menang di kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.

Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 65 undi.

Difahamkan, SPR akan bermesyuarat pada minggu ini bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi PRK DUN Pelangai.

Selepas kekosongan kerusi itu pada 17 Ogos lalu, PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh tersebut iaitu selewat-selewatnya sebelum 17 Oktober depan.

Sehingga Mei lalu, jumlah pengundi berdaftar yang diwartakan SPR di DUN Pelangai adalah 16,475 orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya