Norwani mahu tarik sokongan pengundi wanita di Paroi - Utusan Malaysia

Norwani mahu tarik sokongan pengundi wanita di Paroi

NORWANI Ahmat (kanan) ketika mengadakan kempen di Taman Bandar Senawang, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Norwani Ahmat merupakan salah seorang daripada lima calon wanita yang ditampilkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 di Negeri Sembilan.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Negeri Sembilan itu berkata, strategi kepemimpinan parti meletakkan dirinya bagi bertanding di kerusi itu boleh dilihat sebagai kelebihan ketika jumlah pengundi wanita adalah sekitar 51 peratus daripada keseluruhan 60,704 orang pengundi di DUN Paroi.

“Alhamdulillah, saya lihat apa menampilkan calon wanita itu, sentuhan emosi lebih kuat, apatah lagi di Paroi ini kita ada 51 peratus pengundi wanita. Wanita tentunya lebih kehadapan dalam menangani sendiri isu dihadapi oleh golongan wanita.

“Meletakkan calon wanita bagi saya merupakan satu strategi yang baik dan sememangnya menjadi hasrat PH dalam memperjuang dan memperkasa agenda wanita,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Senawang di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menjelaskan, sepanjang tempoh berkempen dan bertemu dengan orang ramai di Paroi, isu kemudahan lokaliti antara yang sering disuarakan.

“Seperti di Taman Pinggiran Senawang, penduduk menyuarakan isu perlunya jalan tambahan bagi keluar masuk penduduk ke taman itu manakala di Taman Desa Ixora berkenaan tekanan air yang rendah.

“Disebabkan kawasan Paroi mempunyai banyak kilang-kilang perindustrian, ada golongan wanita yang menyuarakan hasrat supaya diwujudkan taska berhampiran atau di kawasan industri itu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Norwani berkata disebabkan Paroi memiliki jumlah pengundi yang terbesar di Negeri Sembilan, beliau mengakui akan berjumpa seramai yang mungkin.

“Hasrat saya sepanjang dua minggu ini adalah untuk berjumpa pengundi seramai yang mungkin dan memanfaatkan media sosial yang ada serta menerusi kerja-kerja lapangan.

“Saya tidak dapat untuk turun ke semua lokasi di sepanjang tempoh kempen ini namun jentera lapangan akan bersama, kerjasama erat antara PH dan BN akan membantu dan menghantar mesej perpaduan di peringkat akar umbi,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya