PONTIAN: Bagi memastikan Pekan Nanas terus dikenang sebagai kawasan pengeluaran utama buah nanas seperti mana pada tahun 1960-an, seorang usahawan membangunkan Nictar Pineapple Park bagi meneruskan kesinambungan itu.
Pengurus Nictar Pineapple Park, Lim Yong Wah, 54, berkata, ramai pengunjung dan pelancong yang singgah ke Pekan Nanas bertanya di mana mereka boleh melihat aktiviti penanaman nanas seperti dahulu.
Bagi tujuan itu, pihaknya menyewa tanah seluas 2.83 hektar pada tahun 2020 bagi mewujudkan semula kawasan sebuah laman nanas yang memaparkan pelbagai aktiviti berkaitan tanaman tersebut.
Katanya, ini termasuk penanaman 12 jenis varieti nanas, demonstrasi penanaman pokok nanas, pameran mengenai buah nanas, jualan produk seperti jus nanas, jem, paceri nanas, nanas kering dan kuih tart nanas.
“Sebelum ini, Nictar Pineapple Nanas beroperasi di Pekan Parit Sikom, namun, kami memilih kawasan ini memandangkan kedudukannya berhampiran dengan Johor Bahru dan Singapura.
“Setakat ini, seramai 800 hingga 1,000 pelawat mengunjungi laman nanas ini yang dibuka setiap hari dengan kadar bayaran masuk sebanyak RM8 seorang,” katanya ketika ditemui di Batu 24 Pekan Nanas, disini.
Yong Wah yang berpengalaman 20 tahun dalam bidang tanaman nanas menambah, pihaknya membelanjakan kira-kira RM300,000 ribu bagi membangunkan laman tersebut sebagai kawasan Agro Pelancongan.
“Terima kasih kami kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia ( LPNM ) yang turut menyalurkan grant sebanyak RM115,000 sempena Pesta Ananas pada 24 Jun lalu,” ujar anak kelahiran Melaka ini.
Menurut Lim, selain sebagai lokasi lawatan, Nictar Pineapple Park juga memberikan pendidikan kepada pelajar-pelajar sekolah bagi mereka mengenali dengan lebih dekat tanaman nanas ini.
Dia seterusnya memberitahu, bangunan yang dibina di laman ini banyak menggunakan barangan kitar semula bagi mewujudkan suasana ‘perkampungan’ serta nostalgia pada masa dulu.
“Kami juga merancang membina sebuah surau bagi kemudahan masyarakat Islam yang singgah ke laman ini selain kemudahan sedia ada seperti tandas awam, tempat letak kereta dan sebagainya,” jelasnya.
Pihaknya kini, kata Yong Wah, menjalinkan kerjasama berterusan dengan LPNM, Majlis Perbandaran Pontian ( MPPn), Pejabat Pertanian serta Tourisme Johor sebagai salah satu lokasi pelancongan bagi daerah Pontian.
Mengikut rekod LPNM, selain Nictar Pineapple Park, lokasi lain yang didirikan oleh pihak swasta ialah Saudagar Nanas (Bangi, Selangor), Qutus Agrofarm (Tangkak, Johor) dan Fionanas (Melaka).
Selain Skyladder Pineapple Farm (Port Dickson, Negeri Sembilan), Warisan Serat Nanas (Pontian, Johor), NNS Fruit Trading (Simpang Renggam, Johor) dan D’Rumah Bonda River View (Kuala Kangsar, Perak).-UTUSAN