Negeri Sembilan sasar perlawanan akhir hoki bawah 12 tahun MSSM - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan sasar perlawanan akhir hoki bawah 12 tahun MSSM

DR. Roslan Husin (berdiri tengah, berbaju Melayu) bergambar bersama kontinjen Negeri Sembilan yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia 2023 di pekarangan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pasukan hoki lelaki Bawah 12 Tahun Negeri Sembilan menyasarkan layak ke pertandingan akhir Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2023 yang bermula esok hingga 30 Ogos ini.

Jurulatih pasukan itu, Jagdev Singh Gurcharan Singh berkata, sasaran itu ditetapkan selepas pasukan berkenaan tewas di persaingan separuh akhir kejohanan itu tahun lalu.

Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pasukan itu telah melakukan persiapan rapi sejak dua minggu lalu dengan mengadakan latihan pusat di Stadium Hoki Seremban 2 dekat sini.

“Seramai 20 pemain telah mempamerkan kesungguhan dalam latihan yang dijalankan termasuk perlawanan persahabatan dengan pasukan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada hujung minggu lalu.

“Melalui perlawanan persahabatan ini, kami telah dapat meningkatkan teknik dan taktikal pasukan bagi menghadapi kejohanan MSSM tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis pelepasan kontinjen Negeri Sembilan yang mengambil bahagian dalam Kejohanan MSSM 2023 di pekarangan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) di sini hari ini.

Pasukan hoki itu akan menentang Kelantan dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan esok sebelum bertemu Melaka pada Sabtu dan Perlis (Ahad). Kesemua perlawanan itu berlangsung di padang hoki Sekolah Tinggi Melaka.

Majlis pelepasan hari ini melibatkan lebih 200 pelajar sekolah dari negeri ini yang menyertai 24 acara sukan yang dipertandingkan dalam kejohanan itu tahun ini.

Ia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu bawah 12 tahun, bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun.

Setiap negeri termasuk Wilayah Persekutuan menjadi tuan rumah untuk satu atau dua acara sukan yang dipertandingkan.

Majlis pelepasan itu telah disempurnakan Pengarah JPNS, Dr. Roslan Husin.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya