Nazri sudah lama simpan hasrat, bertekad tingkat kehidupan rakyat - Utusan Malaysia

Nazri sudah lama simpan hasrat, bertekad tingkat kehidupan rakyat

Nazri Abdul Rahman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Calon Pakatan Harapan (PH), Ir. Nazri Abdul Rahman, 56, di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) mengaku sudah lama menyimpan hasrat untuk berbakti dan membantu rakyat, khususnya di kawasan tersebut.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan tertinggi Parti Amanah Negara (Amanah) atas kepercayaan mencalonkannya, beliau turut bertekad berusaha sebaik mungkin memenangi kerusi tersebut, sekali gus dapat memberikan khidmat pada masyarakat setempat. 

“Semua perancangan yang sudah dilaksanakan oleh arwah Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika era pentadbiran beliau akan diteruskan serta ditambah baik deni untuk kesejahteraan hidup penduduk di sini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu kenyataan memaklumkan Nazri dipilih sebagai calon PH di DUN Simpang Jeram, manakala Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat sebagai calon di Parlimen Pulai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kedua-dua kerusi tersebut yang akan diadakan pada 9 September ini.

Dalam pada itu, Nazri berjanji akan memberi tumpuan terhadap kebajikan rakyat, khususnya dalam bidang sosio ekonomi  sekiranya terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram nanti. 

Beliau yang merupakan anak ke-14 daripada 17 adik beradik merupakan anak jati Batu Tiga, Bakri dan berkelulusan Doktor Falsafah (Ph.D) dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam bidang kejuruteraan. 

Nazri sebelum ini bertugas sebagai Ketua Bahagian Kejuruteraan di Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan mula berkecimpung dalam politik sejak 30 tahun lalu. 

Timbalan Ketua Kawasan Amanah Parlimen Bakri itu juga aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disertainya sepanjang berkhidmat di MPM. 

Kerusi Simpang Jeram mempunyai 40,488 pengundi yang terdiri daripada 21,005 Melayu (51.87 %), 18,052 (44.58 %), 1,027 India (2.53 %) dan lain-lain bangsa 404 orang (0.99 %).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya