MyLesen B2 bukan 'lesen terbang'

MyLesen B2 bukan ‘lesen terbang’

HASBI Habibollah (berdiri, dua dari kiri) bersama sebahagian penerima manfaat Program MyLesen B2 peringkat Kelantan di Dewan Tok Tangok, PPD Bachok, Kelantan, hari ini. UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Program MyLesen B2 bukan satu amalan yang dilakukan seperti sindiket lesen terbang apabila setiap penerima manfaat itu wajib mengikut prosedur pembelajaran dan ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum menerima Lesen Memandu Malaysia (LMM) motosikal.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, tiada sebarang keistimewaan atau jalan mudah diberikan kepada peserta program itu apabila mereka perlu menghadiri kelas, latihan di litar dan ujian JPJ.

Menurutnya, pengambilan lesen bagi Mylesen B2 mengikut undang-undang meskipun kos bagi tujuan itu sebanyak RM300 ditanggung oleh kerajaan.

“Setiap peserta yang terpilih akan membuat lesen memandu kelas B2 secara percuma. Setakat ini, sebanyak 9,000 kumpulan sasar yang menikmati manfaat program tersebut yang telah dilancarkan pada Mei lalu.

“Golongan B40 yang terdiri daripada penerima bantuan e-Kasih, penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), orang kelainan upaya (OKU) dan pelajar sekolah merupakan kumpulan sasar yang dipilih. Program itu turut memberi manfaat kepada 900 peserta pelbagai peringkat umur di Kelantan,” katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Tok Tangok, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasbi memberitahu, proses pelaksanaan Program MyLesen B2 dijalankan bermula daripada peserta mengambil lesen L sebelum menduduki kelas pemanduan di litar dan ujian.

Katanya, peserta terlibat akan dibimbing oleh akedemi memandu sehingga lulus dan berjaya mendapatkan lesen B2 dan ia tidak sama seperti mengambil lesen terbang.

“Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan akan meluaskan program berkenaan pada masa akan datang untuk meringankan beban golongan B40 untuk mendapatkan lesen.

“Inisiatif itu dapat meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pematuhan peraturan dan keselamatan jalan raya sekali gus dapat melahirkan pemandu kenderaan bermotor yang kompeten selain selamat,” katanya.

Dalam pada itu, seorang ibu tunggal, Zaidah Omar, 40, dari Kampung Mek Nab, Machang ketika ditemui berkata, manfaat yang diterima itu membantu meringankan beban kos sara hidup kerana sebelum ini dia tidak berkemampuan untuk membayar kos membuat lesen B2 meskipun kadar harganya RM300.

“Saya bersyukur apabila kerajaan dapat membela nasib keluarga miskin dalam pelbagai perkara. Selama ini saya menunggang motosikal tanpa lesen untuk menjaja makanan selepas kematian suami akibat serangan jantung sejak dua tahun lalu.

“Saya akan menghadiri kelas dan belajar di litar pemanduan bagi mendapatkan lesen B2 sekali gus memberi peluang untuk menjaja makanan ke kawasan yang lebih luas dengan selamat selepas ini,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya