SEREMBAN: Petugas media di seluruh negara yang memegang kad perakuan media dari Jabatan Penerangan Malaysia bakal menikmati diskaun istimewa dari pasar raya Mydin.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, diskaun istimewa itu diberikan sebagai komitmen dan penghargaan pihaknya kepada media yang banyak menyalurkan maklumat dan komunikasi yang tepat serta komprehensif kepada masyarakat.
“Seramai 12,000 pemegang kad perakuan media yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia akan menerima diskaun istimewa ini.
“Bentuk diskaun dan tarikh mula diskaun tersebut akan kami umum di sosial media rasmi Mydin dalam masa terdekat,” katanya sewaktu berucap pada Program Semarak Gemilang Malaysia Madani dan Kempen OhMydin! Meriah Bersama Sempena Ulang Tahun Mydin Ke-66 di Seremban 2, di sini hari ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Fahmi dalam pada itu ketika berucap turut memaklumkan pihaknya juga ada sesuatu pengumuman kepada pengamal media yang mempunyai kad perakuan media tersebut.
“Untuk rakan-rakan media yang mempunyai kad perakuan media, insya-Allah ada pengumuman untuk rakan-rakan media,” katanya lagi.-UTUSAN.