KOTA BHARU : Seorang murid lelaki tahun dua mengalami pendarahan di kedua-dua belah telinga serta kecederaan pada tisu lembut di bahagian muka selepas mendakwa ditampar berkali-kali oleh seorang guru sekolahnya pada Rabu lalu.
Kejadian itu disedari bapanya, Khairul Asraf Razali,33, ketika menjemput anak keduanya, Arsyad,8, dari sekolah apabila mendapati kedua-dua belah pipinya bengkak.
Khairul Asraf berkata, dia terkejut mendapati anaknya seolah-olah sedang sedang menahan kesakitan sebelum dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
“Mengikut makluman Arsyad kepada saya, guru tersebut telah mencarinya di dalam kelas pada sebelah pagi ketika semua murid sedang bérsedia untuk menjawab Ujian Pertengahan Tahun.
“Guru itu kemudian, telah bertindak menamparnya (Arsyad) di muka beberapa kali sehingga terjatuh. Dia (guru) kemudian mencekik leher baju anak saya untuk mengangkatnya serta menampar beberapa kali Arsyad sebelum keluar dari kelas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Melor, di sini hari ini.
Khairul Asraf memberitahu, tindakan itu ekoran daripada aduan oleh anak guru terbabit yang juga rakan sekelas Arsyad mengenai pergaduhan mereka sehari sebelum kejadian.
Katanya, dia kemudiannya terus ke pejabat guru besar dan memaklumkan kejadian berkenaan sebelum hadir membuat laporan polis di Balai Polis Melor.
“Setelah melakukan pemeriksaan dan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Arsyad telah dimasukkan ke wad selama dua hari untuk pemantauan sementara.
“Setakat ini, kami dimaklumkan bahawa Arsyad mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian muka serta pendarahan di kedua-dua belah telinga disyaki kesan ditampar oleh guru berkenaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khairul Asraf berkata, pihaknya kesal dengan tindakan lambat daripada guru dan pihak sekolah untuk memaklumkan kepada mereka mengenai kejadian yang berlaku dan dilihat seolah-olah menyembunyikannya daripada pengetahuan ibu bapa.
Katanya, kejadian ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja mendatangkan kecederaan malah turut memberi kesan trauma berpanjangan kepada mangsa.
“Kami berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan secara teliti dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang seandainya perbuatan guru itu boleh diklasifikasikan sebagai kes jenayah.
“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengambil tindakan segera mengasingkan guru berkenaan sepanjang siasatan agar tidak menganggu siasatan polis serta menjaga keselamatan anak saya di sekolah,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan.-UTUSAN