KOTA BHARU: Muktamar Pas dijangka berlangsung pada bulan Oktober ini.
Naib Presidennya Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun pucuk pimpinan tertinggi parti masih belum membuat sebarang ketetapan tarikh.
“Tarikh yang sebenarnya belum ditentukan lagi kerana ia bergantung kepada kekosongan ‘venue’ untuk Muktamar Pas diadakan.
“Jadi kita cadangkan pada pertengahan atau penghujung bulan Oktober nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memberitahu, setakat ini pihaknya masih belum mengetahui apa-apa maklumat berkenaan pertandingan atau pemilihan jawatan pada Muktamar itu nanti.
Katanya, hal ini kerana perkara tersebut diuruskan oleh jawatankuasa khas.
“Jadi setakat ini kita belum tahu siapa yang dicalonkan untuk jawatan apa… semua tak tahu.
“Mungkin apabila akan sampai masanya nanti jawatankuasa tersebut akan membuat pengumuman berkenaan perkara itu sebagaimana amalan-amalan yang lepas,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Pas memutuskan untuk menangguhkan muktamar parti itu yang sepatutnya berlangsung pada Rabu hingga Jumaat ini (3 hingga 5 Mei) di sini dipinda ke satu tarikh baharu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penangguhan itu membuka ruang seluas-luasnya kepada Pas untuk memberi tumpuan berdepan PRN di enam buah negeri.-UTUSAN