SEREMBAN: Pemidato, Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah, 22, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dinobatkan Johan sebagai johan Pidato Kebangsaan Bahasa Melayu (PKBM) Piala Menteri Pendidikan Tinggi Tahun 2023 (Edisi Pertama) yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai di sini hari ini.
Pelajar tahun dua Sarjana Muda Undang-Undang itu menewaskan empat pencabarnya yang lain di peringkat akhir sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500 bersama piala iringan dan sijil.
Naib johan pula dimenangi oleh pelajar tahun empat bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Ivanatasha Abdul Majid, 24, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Hau’ra Faris dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Muhammad Mukhlisul berkata, dia bersyukur dengan kejayaan tersebut terutama selepas usaha gigih dan cabaran yang dilaluinya demi pertandingan tersebut.
“Persediaan amat mencabar kerana saya perlu menjalani peperiksaan semester jadi terpaksa membahagikan masa untuk memastikan kedua-dua (peperiksaan dan pidato) ini dilakukan dengan baik. Selepas solat subuh saya akan menghafal teks pidato dan selepas itu akan fokus menelaah pelajaran.
“Alhamdulillah, keluarga juga beri banyak dorongan dan bapa saya, Julasapiyah Kasim, sering memberikan keyakinan dan inspirasi kepada saya untuk bercakap di hadapan orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita.
Bagi Ivanatasha pula, dia mengakui agak gementar untuk menyertai pertandingan itu.
“Saya merupakan pendebat UiTM dan saya banyak membuat penghafalan dan penyediaan teks untuk pertandingan. Alhamdulillah semua berjalan lancar dan rezeki hari ini saya berjaya menjadi Naib Johan,” katanya lagi.
Kedua-dua mereka akan mewakili Malaysia ke dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri yang bakal berlangsung pada bulan Oktober nanti.
Sementara itu, Majlis Perasmian Penutup dan Pertandingan Akhir PKBM Piala Menteri Pendidikan Tinggi Tahun 2023 (Edisi Pertama) tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata, platform pidato merupakan salah satu elemen bagi membangunkan generasi berintelektual daya berfikiran serta membina mahasiswa dan mahasiswi yang kritikal dan matang.

Jelas beliau, pidato harus menyentuh jiwa, menggerakkan pendengar untuk berfikir dan paling penting menzahirkan nilai serta hikmah yang dipegang oleh pemidato.
“Jadi, manfaatkanlah seni ini dengan mempamerkan kekuatan penguasaan bahasa yang baik.
“Pidato ini ada dua matlamat satu soal kedudukan Bahasa Melayu, apabila kita melaksanakan peringkat antarabangsa pelajar dari luar negara bukan sahaja mengembangkan Bahasa Melayu tetapi kita melihat kepada kefasihan dan kepetahan mereka menguasai Bahasa Melayu.
“Keduanya, platform berpidato itu sendiri sebagai satu elemen untuk kita membangunkan keintelektualan daya fikir pelajar dan ini memang kita akan teruskan,” katanya lagi.
Pertandingan pidato tersebut merupakan kerjasama di antara Kementerian Pendidikan Tinggi Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (Madum) dan USIM.
Ia merupakan satu penjenamaan semula daripada pemilihan wakil Malaysia ke Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM).-UTUSAN.