JEMPOL: Respon positif yang diterima daripada kelompok pengundi muda memberi keyakinan kepada calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting, Muhammad Zamri Omar untuk menang di kerusi berkenaan.
Pertama kali ditampilkan oleh BN, beliau yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jempol memberitahu, bantuan yang diberi oleh jentera Pakatan Harapan (PH) juga menambah keyakinan buat dirinya bagi memastikan DUN Serting kekal dimenangi oleh BN.
“Berdasarkan laporan dari jentera Pemuda dan Puteri UMNO melalui panggilan telefon kepada anak-anak muda, terdapat 62 peratus menunjukkan keputusan positif dan kesemua panggilan dilayan dengan baik mereka menyatakan hasrat mengundi BN,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, beliau berkata, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Karnival Segalanya Felda di Dataran Seri Jempol, Feldajaya Selatan Wilayah Raja Alias pada 27 Julai lalu turut dilihat sebagai motivasi tambahan buatnya
“Saya melihat perancangan beberapa projek yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai sesuatu yang positif untuk ditawarkan kepada pengundi,” katanya lagi.
Terdapat seramai 30,287 pengundi berdaftar di DUN Serting yang layak menjalankan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15, 12 Ogos ini.
Daripada jumlah tersebut difahamkan hampir 16,000 merupakan pengundi muda. DUN Serting meliputi pengundi dari lapan buah tanah rancangan Felda, enam buah taman perumahan dan selebihnya merupakan kampung tradisi.
DUN Serting menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Muhammad Zamri dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Fairuz Mohd. Isa.-UTUSAN.