KOTA BHARU: Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi bayangan gabungan baharu untuk jawatan Menteri Besar (MB) dan Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan pada penggal kali ini terdiri daripada agamawan, teknokrat berusia lingkungan 50-an serta bukan terdiri daripada gandingan sedia yang menerajui pentadbiran sebelum ini.
Berpandukan kepada bayangan itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi penggal lalu Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan yang merupakan teknokrat berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Temangan pada Pilihan Raya Negeri, Sabtu lalu dilihat sebagai calon MB.
Mohamed Fadzli berusia 55 tahun, sementara bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud, 58, golongan agamawan turut dikaitkan untuk jawatan tersebut.
Sementara, Datuk Mohd. Amar Abdullah yang merupakan Timbalan Menteri Besar sudah berusia 68 tahun sekali gus melepasi ciri-ciri yang dimaksudkan oleh Takiyuddin.
Takiyuddin berkata, hasil mesyuarat Pas Pusat bersama Pas Kelantan yang dihadiri oleh Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang pihaknya akan mempersembahan dua nama kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bagi mendapat perkenan.
Menurutnya, apa yang dibincangkan pada mesyuarat tersebut selaras dengan perkara 16 yang terdapat dalam peruntukan Pelembagaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Sultan Kelantan mempunyai kuasa mutlak untuk melantik Menteri Besar.
“Itu kuasa mutlak Tuanku Sultan yang tidak memerlukan apa-apa nasihat daripada mana-mana pihak. Apa yang dibuat oleh parti ialah, mengangkat nama pada pandangan (parti) yakin dan sesuai untuk Tuanku Sultan lantik sebagai MB.
“Dalam konteks Kelantan ia lain dari negeri lain…hal ini kerana jawatan TMB yang tertulis dalam perlembagaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. Hendak jadi MB, TMB mesti rakyat Kelantan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.
Ahli Ahli Parlimen Kota Bharu itu, mesyuarat tersebut telah selesai memilih siapa calon MB dan ia dipersetujui Pas Kelantan.
Katanya, gabungan baharu kali ini tidak melibatkan kepimpinan pada penggal lalu untuk kedua-dua jawatan tersebut.
“Jadi esok (hari ini) sebagaimana kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob tadi, beliau sendiri akan angkat nama itu kepada Tuanku Sultan.
“Saya difahamkan majlis angkat sumpah telah ditetapkan pada Selasa jam 3 petang dan proses kita ini berjalan dengan lancar,” ujarnya.
Kelantan sebelum ini dilaporkan bakal mendapat Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar yang baharu sekiranya Pas dah Perikatan Nasional (PN) kekal mentadbir negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya memutuskan perubahan kedudukan dua jawatan itu dengan mengemukakan gabungan kepemimpinan baharu iaitu seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat, tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan.
Ahmad pada Sabtu lalu mengesahkan masalah kesihatan yang dialami menjadi sebab utama beliau menolak untuk kekal sebagai Menteri Besar jika parti itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Katanya, masalah kesihatan itu melibatkan ‘slip dics’ selepas terjatuh sebanyak dua kali sebelum ini selain jantung.-UTUSAN