ISKANDAR PUTERI: Festival Majestic Johor (MJF) 2023 melakar rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya menghasilkan kek vegetarian Jalur Gemilang terbesar bersaiz 9×5 kaki sempena sambutan Hari Kebangsaan negara ke-66.
Celebrity Master Chef Malaysia, Michael Ooi Beng Hock berkata, seramai 16 chef dari beberapa hotel di Johor yang merupakan ahli Persatuan Juara Juru Masak Malaysia (MCMA) berganding bahu menyiapkan kek tersebut dalam tempoh 48 jam.
Kek itu kemudian diberikan secara percuma kepada para pengunjung festival berkenaan.
“Semua orang boleh makan kerana kek ini kek vegetarian dan kek boleh dipotong menjadi 600 hingga 700 keping untuk diedarkan. Pembuatan kek ini menggunakan kira-kira 600 kilogram tepung dan kita tidak pakai telur. Jadi hanya pakai tepung, coklat chip, coklat rice dan air.
“Kek ini jadi berat sedikit kerana biasanya kek akan jadi lembut seperti span kerana adanya telur. Selain itu kita juga gunakan icing sugar, untuk krim pula kita guna marjerin,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, kek berkenaan turut masak di beberapa tempat melibatkan kerjasama rakan-rakan dari hotel di sini sebelum dibawa ke tapak festival untuk dihias menjadi Jalur Gemilang.
Katanya, kek yang dihasilkan itu berjaya memecah rekod yang pernah dibuat sebelum ini, iaitu pada tahun 2000 ketika itu beliau menghasilkan kek sebesar 8×4 kaki di Kota Tinggi.
“Ini adalah rekod kali ke-14 yang pernah saya cipta melibatkan pembuatan kek, antaranya paling tinggi, paling panjang, paling kecil dan lain-lain. Apa yang penting menerusi acara ini kita dapat tolong chef muda kita agar mereka dapat pengalaman lebih-lebih lagi dalam mempersiapkan diri mereka untuk menyertai pertandingan di luar negara,” katanya.
Sesi pemotongan kek tersebut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad; Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim dan Pengarah Urusan dan Pengasas Star Vendors, Datuk Saripah Raziah atau Ifa Raziah. – UTUSAN