Misah terkejut suami ditemukan meninggal dunia di Pos Titom - Utusan Malaysia

Misah terkejut suami ditemukan meninggal dunia di Pos Titom

MISAH Anip sambil menggendong anaknya yang berusia tiga bulan menunggu mayat suaminya, Rahim Amat untuk dibawa pulang ke Pos Titom selepas dibedah siasat di Hospital Lipis di Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang isteri masyarakat Orang Asli terkejut apabila dimaklumkan oleh orang kampung bahawa suaminya, Rahim Amat, 37, ditemukan meninggal dunia berdekatan sebatang sungai di Pos Titom, Ulu Jelai di sini.

Wanita berkenaan, Misah Anip, 43, berkata, ini kerana suaminya yang merupakan penoreh getah tidak mempunyai sebarang penyakit.

Menurutnya, kelazimannya suaminya keluar menoreh getah di kebun yang tidak jauh dari tempat tinggal mereka di Kampung Telimau, Pos Titom pada sebelah pagi dan pulang agak lewat kerana membuat pelbagai kerja untuk memperoleh pendapatan.

“Selepas menoreh dan selesai mengutip serta mengumpul getah beku/sekerap, dia beredar dari kebun getah ke tempat lain untuk mencari sumber hutan.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa kejadian sebelum ini kerana dia kadang-kadang kerap lewat pulang sebab mencari sumber hutan, tetapi hampir dua hari tidak balik menyebabkan hati saya risau,” katanya di pekarangan bilik forensik Hospital Lipis di sini hari ini.

Cerita Misah lagi, dia tidak dapat membantu suaminya ke kebun kerana masih berpantang setelah melahirkan anaknya yang kini berusia tiga bulan berbanding sebelum ini kerap bersama menoreh getah serta mencari hasil hutan.

Dia yang mempunyai empat anak perempuan dan lima lelaki berusia antara tiga bulan hingga 19 tahun itu berkata, selepas suaminya tidak pulang ke rumah, dia ada bertanya beberapa orang jirannya tetapi semuanya tidak tahu.

“Sehinggalah saya diberitahu mayat suami dijumpai oleh orang kampung yang keluar mencari setelah seorang penduduk terhidu bau busuk berdekatan sebatang anak sungai.

“Saya reda dengan kematiannya dan berterima kasih kepada pihak polis serta Tok Batin dan orang kampung yang turut mencari sehingga menjumpai mayatnya,” katanya.

Misah berkata, selepas ini, kehidupannya bertambah susah kerana perlu menggantikan suaminya sebagai ketua keluarga mencari pendapatan untuk menyara anak yang masih kecil dan bersekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor mengesahkan kejadian dan berkata, punca kematian lelaki Orang Asli itu menurut laporan pihak hospital tidak dapat ditentukan kerana badan mangsa yang sudah reput. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya