JOHOR BAHRU: Minat masyarakat terhadap aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam kalangan golongan muda menunjukkan trend penurunan dan membimbangkan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani isu berkenaan yang akan dianggotai pihaknya, Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Sumber Manusia (KSM).
“Kerja-kerja awal telah dilaksanakan, namun jawatankuasa tersebut dijangka akan bermula secara rasminya dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang.
“Mengikut statistik, terdapat penurunan dalam kalangan pelajar lepasan sekolah yang mengikuti jurusan STEM di peringkat pengajian tinggi dan ini merupakan satu trend yang amat membimbangkan kerana Malaysia dalam usaha menuju ke arah negara maju menjelang tahun 2030,” katanya selepas merasmikan Karnival Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Johor di Arena Larkin, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Rosli Md. Illias.
Lih Kang berkata, antara punca aliran itu kurang diminati golongan muda kerana sukar dikuasai, proses pengajaran yang kurang menarik serta kurangnya prospek pekerjaan dalam bidang tersebut.
Justeru, beliau memberitahu, menjadi tanggungjawab kerajaan dalam mempromosikan STEM dari peringkat awal persekolahan, sama ada menerusi pendidikan formal atau kurang formal.
“Selain pendidikan di peringkat sekolah, kita juga perlu pelbagaikan kaedah pengajaran seperti mengadakan program Minggu Sains Negara serta lain-lain yang dapat menarik minat masyarakat, itu sedang diusahakan MOSTI.
“Dalam pada itu, kita juga menyeru pemain industri, khususnya syarikat-syarikat besar dan perindustrian untuk sama-sama mengaplikasikan sains dan teknologi dalam perusahaan mereka,” katanya.
Berdasarkan kajian Kesedaran Awam Mengenai STI Malaysia 2022 yang dilakukan Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) MOSTI, didapati peratusan pelajar menyertai aliran STEM dari tahun 2017 hingga 2022 mencatatkan penurunan daripada 45.20 peratus menjadi 40.94 peratus. – UTUSAN