'Mendukacitakan, saya nampak banyak bangkai haiwan' - Utusan Malaysia

‘Mendukacitakan, saya nampak banyak bangkai haiwan’

ONN HAFIZ GHAZI (tiga dari kiri) bersama-sama penduduk setempat dan sukarelawan mengutip sampah pada Program Pembersihan Sungai Skudai di Taman Impian Emas, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Semasa jalankan kerja bersih Sungai Skudai tadi, saya nampak banyak bangkai haiwan seperti ayam dan ikan, itu tidak termasuk plastik sampah dan lampin pakai buang, ia sangat mendukacitakan.” 

Demikian luahan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengakui sedih melihat keadaan pencemaran sungai tersebut apabila menemukan banyak bangkai haiwan dan longgokan sampah serta plastik ketika menyertai Program Pembersihan Sungai Skudai di Taman Impian Emas, di sini hari ini.

Justeru, menurutnya, kerajaan negeri akan terus berusaha dan mencari ikhtiar melaksanakan inisiatif yang dirancang menerusi Program Johor Bersih agar objektifnya tercapai.

“Kerajaan negeri akan terus melaksanakan program Johor Bersih ini ke fasa seterusnya bagi mencapai objektif untuk memastikan Sungai Skudai sepanjang 52 kilometer ini benar-benar bersih.

“Kita mahu mentranformasikan Sungai Skudai ini (dahulunya antara sungai paling tercemar dalam negara) menjadi salah satu contoh bukan sahaja di negeri Johor, malah di Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Yang turut hadir menyertai program tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon.

Dalam pada itu, Onn Hafiz menekankan 10 perkara dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) Sungai Skudai perlu dilaksanakan bagi memastikan pembersihan sungai berjalan lancar, antaranya penguatkuasaan terhadap empat lokasi perkampungan setinggan dan dua lokasi pencerobohan, penguatkuasaan tapak pembuangan sampah haram, pembersihan fizikal Sungai Skudai (sistem mekanikal) serta cadangan membina perangkap sampah dan penguatkuasaan pelepasan air sisa.

Turut akan dilaksanakan ialah cadangan menaik taraf perangkap sampah sedia ada, mewujudkan Taman Pesisir Air Eko Sungai Skudai, cadangan denai sungai dan penghutanan semula Sungai Skudai.

“Pelan ini sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun, namun saya minta ini dipendekkan kepada tempoh lima tahun, kerjasama semua pihak adalah penting khususnya masyarakat setempat.

“Masyarakat perlu sedar bahawa sungai ini adalah aset negeri ini dan perlu dibersihkan bersama. Jadi, kita jangan sesuka hati membuang sampah ke dalam sungai dan pihak berkuasa juga akan lebih tegas menjalankan penguatkuasaan selepas ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya