SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menganggap kemenangan mereka di lima buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 ini sebagai pencapaian baik dan satu permulaan parti itu untuk bertapak di negeri ini.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha kemenangan itu juga sekali gus membawa suara pembangkang di dalam DUN negeri ini.
“Pada saya, ini satu pencapaian yang baik, diharapkan dengan kemenangan lima kerusi ini insya-Allah kami akan ada asas untuk bertapak untuk kami bergerak secara lebih berkesan selepas ini,” katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Utama PN di Pusat Perdagangan Paroi, di sini malam tadi.
Yang hadir sama, Setiausaha Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan, Mohd. Nazree Mohd. Yunus.
Lima kerusi DUN yang dimenangi oleh PN tersebut adalah Gemas, Serting, Labu, Bagan Pinang dan Paroi.
Dalam pada itu, Rafiei yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan menjelaskan turut berpuas hati dengan prestasi PN di beberapa kerusi lain di mana parti itu tewas dengan majoriti kecil seperti di Lenggeng dan Sungai Lui.
“Saya percaya pencapaian majoriti yang kecil ini tidak mematahkan semangat calon PN di DUN berkenaan dan saya percaya bahawa gerak kerja akan diteruskan untuk kami melipat gandakan usaha,” tambahnya.-UTUSAN.