‘MB Kedah hari-hari maki saya’ rakyat perlu buat perubahan selari dengan Pusat

‘MB Kedah hari-hari maki saya’ rakyat perlu buat perubahan selari dengan Pusat

ANWAR Ibrahim berucap dalam ceramah jelajah perpaduan Madani di Taman Hidayah, Hutan Kampung, Kubang Pasu, Kedah malam ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Rakyat Kedah perlu berani membuat perubahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) esok, agar pentadbiran negeri selari dengan kerajaan Pusat sekali gus memudahkan usaha memartabatkan negeri tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat Kedah perlu membuat keputusan terbaik demi kepentingan mereka daripada mempertahankan kerajaan negeri diketuai Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd. Nor yang kerjanya hanya memaki hamun.

Katanya, Kedah merupakan antara negeri termiskin yang memerlukan perhatian namun pendekatan Menteri Besar yang sedemikian sukar untuk kerajaan Pusat bekerjasama.

“Ini (Menteri Besar), pimpinan PN hari-hari maki saya pastu nak minta kerjasama. Cakap elok-elok kalau nak bincang apa bukan maki hamun.

“Saya harap pengundi di Kedah membuat keputusan untuk melakukan perubahan. Bukan nak dendam, sakit hati apa, namun negeri Kedah perlu kembali dimartabatkan.

“Kita memerlukan kerajaan negeri yang boleh bekerjasama dengan pusat. Kita perlukan kuasa untuk angkat martabat orang Kedah ini,” katanya berucap di hadapan ribuan rakyat dalam ceramah jelajah perpaduan Madani di Taman Hidayah, Hutan Kampung di sini malam ini.

Seterusnya Anwar berkata, politik yang dimainkan Perikatan Nasional (PN) hanya tertumpu kepada serangan, fitnah, maki hamun dan cerca kononnya beliau kejam.

Sinis Anwar, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kononnya cerdik itu semasa ada kuasa menjadi Perdana Menteri sebelum ini buat apa demi kepentingan rakyat.

“Fitnah seolah-olah menjadi ‘peraturan’ kepada mereka. Macam-macam mereka fitnah tidak diberikan peruntukan kepada negeri pembangkang dan pelbagai lagi. Saya nak beri tahu peruntukan yang diberikan lebih tinggi daripada PN menjadi kerajaan sebelum ini.

“Di bawah kerajaan Perpaduan, harga subsidi padi naik, gaji penjawat awam dan pelbagai lagi kemudahan demi kebajikan rakyat. Zaman PN memerintah pada masa itu buat apa. Bila harga subsidi naik, kononnya merekalah yang cadang, tapi ada kuasa tidak buat.

“Apabila menjadi Perdana Menteri, saya arahkan (Mat Sabu) kaji dan hanya selepas enam bulan kita sudah buat keputusan. Hampa (PN) jaga (perintah) tiga tahun buat apa.

“PRN ini, mereka berpakat guna apa sahaja untuk halang saya. Nak halang apa saya nak noktahkan miskin tegar, naikkan gaji penjawat awam, swasta, bantu pesawah,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya