KOTA BHARU: Hasrat seorang pegawai di Jabatan Audit Negara untuk membina sebuah rumah baharu tidak kesampaian apabila dia bersama suami dan anak bongsunya maut selepas kereta yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Kok Lanas semalam.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, Nik Amirah Ab. Rahman, 40, dan suaminya Nik Mohd. Zulmi Ramli, 44, bersama anak mereka, Nik Aishah Azzahra, 5 meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit dalam kereta jenis Nissan Sentra.
Ibu kepada Nik Amirah, Amnah Ismail, 64, berkata, arwah merupakan anak sulong daripada lapan beradik sedang dalam perbincangan untuk menjalankan kerja-kerja membina rumah di Kampung Kubang Kalor di sini pada hujung bulan ini.
Menurutnya, hasrat anaknya itu terpaksa ditangguhkan ke bulan depan apabila tukang rumah yang akan membantu membina rumahnya itu cedera selepas terjatuh dari atas bumbung semasa bekerja baru-baru ini.
“Saya berada di Kuala Lumpur semalam kerana menziarahi besan yang meninggal dunia baru-baru ini. Saya menerima panggilan berhubung kejadian yang menimpa Nik Amirah sekeluarga kira-kira pukul 8.10 malam tadi.
“Anak perempuan saya, Nik Amalin, 28 memaklumkan bahawa dia berkonvoi dengan sebuah kereta yang dinaiki Nik Amirah bersama keluarganya. Mereka sedang dalam perjalanan pulang selepas makan di Pulai Chondong, Machang,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kubang Kiat di sini hari ini.
Amnah memberitahu, selepas menerima panggilan itu, dia terus bergegas pulang ke kampung dan tiba kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Katanya, kali terakhir dia bercakap dengan Nik Amirah pada tiga hari lalu selepas arwah menghubunginya menerusi panggilan video.
“Kami berbual seperti biasa. Dia menunjukkan anak bongsunya, Nik Aishah Azzahra semasa kami berbual. Sebelum kejadian, arwah membawa anak bongsunya itu menyertai pertandingan mewarna di sebuah kompleks beli-belah.
“Selesai pertandingan mewarna itu, dia pulang ke rumah. Pada sebelah petangnya, Nik Amalin mengajak dia sekeluarga untuk keluar makan di sebuah kedai di Pulai Chondong,” ujarnya.
Amnah berkata, dia tidak menyangka tiga ahli keluarganya pergi dengan sekelip mata dalam kejadian yang sangat menyayat hati.
Katanya, dua lagi cucunya, Nik Adelia Zulaikha, 11 dan Nik Adam Zarif, 9, yang duduk di tempat duduk penumpang belakang cedera pada bahagian dahi manakala Nik Aishah Azzahra maut semasa dipangku Nik Amirah di tempat duduk penumpang depan.
“Kereta yang dipandu Nik Amalin selamat kerana dia berada pada kedudukan selang sebuah daripada kereta yang dinaiki lima beranak itu.
“Jenazah Nik Mohd. Zulmi Ramli, Nik Amirah dan Nik Aishah Azzahra akan dikebumikan di dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Tok Johol di sini kira-kira pukul 5 petang ini selepas proses bedah siasat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian pagi tadi,” katanya.
Utusan Online hari ini melaporkan, sepasang suami isteri dan anak perempuan berusia lima tahun disahkan maut dalam kejadian dua buah kereta yang dihempap di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Kok Lanas di sini malam tadi.-UTUSAN