MUAR: Kerajaan memberi jaminan bahawa rakyat negara ini tidak akan terjejas dengan sebarang sekatan eksport beras dari India.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan, kerajaan perlu sentiasa bersedia memastikan bekalan makanan mencukupi di pasaran.
Katanya, ia memerlukan usaha sama semua pihak termasuklah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“India menyebut mahu mengurangkan eksport beras dan kenaikan harga beras, begitu juga bawang, semua ini memberi isyarat supaya kita kena lebih kuat dan lebih bersedia untuk keterjaminan makanan di negara.
“Sebab itu, Nafas, LPP dan FAMA berganding bahu dan berusaha keras, kalau berlaku sesuatu tidaklah sampai tidak ada makanan di negara ini. Itu kita yakin dan kita jamin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Santai Peladang Zon Selatan 2023 di sini, hari ini.
Semalam, kerajaan India menetapkan duti eksport sebanyak 20 peratus ke atas beras rebus (parboil) berkuat kuasa serta merta bertujuan untuk menyemak kenaikan harga serta memastikan bekalan dalam negara mencukupi.
Ini susulan larangan ke atas eksport beras putih bukan basmati yang digunakan secara meluas, berikutan larangan eksport beras hancur tahun lalu.
Pada masa sama, Mohamad menjelaskan, kementerian juga sedang mengenal pasti isu kekurangan stok bekalan beras super spesial tempatan (SST) serta harganya di pasaran.
“Kita sudah berdialog dengan semua pengilang supaya kita dapat menyelaras hal-hal beras, memanglah beras import banyak dan harganya lebih tinggi berbanding harga beras tempatan kita cuba selaras sekarang.
“Kita akan bertindak pantas, insya-Allah, penguatkuasaan bergerak cergas untuk memastikan supaya tidak berlaku perubahan,” katanya. –