Malaysia mahu jadi hab pendidikan antarabangsa - Khaled - Utusan Malaysia

Malaysia mahu jadi hab pendidikan antarabangsa – Khaled

MOHAMED KHALED NORDIN (tengah) bergambar dengan warga pelbagai universiti yang menghadiri Majlis Pembukaan Forum Presiden Universiti-Universiti anjuran UTM di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengkaji semula dasar berkaitan pendidikan tinggi serta melakukan penambahbaikan bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kajian itu turut melibatkan polisi imigresen bagi memudahkan lebih ramai penuntut antarabangsa melanjutkan pengajian mereka di sini.

“Antara sasaran kita dalam hal ini termasuk menjadi tuan rumah kepada ramai individu berilmu yang mempunyai bakat luar biasa, dengan tujuan perkongsian maklumat agar modal insan negara turut dipertingkatkan.

“Kedua, kita juga mahu berkongsi maklumat dan kepakaran tempatan dengan rakan-rakan dari pelbagai negara bagi terus memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam dunia,” katanya semasa merasmikan Forum Presiden Universiti-Universiti anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Mohamed Khaled yakin matlamat tersebut mampu dicapai menerusi kerjasama pihaknya dengan pelbagai agensi berkaitan pendidikan.

“Selain itu, matlamat ini juga sejajar dengan falsafah Malaysia Madani yang sedang diperkenalkan kerajaan Persekutuan hari ini,” jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Fauzi memberitahu, pihaknya menyambut baik usaha kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan bukan sahaja di rantau ini, malah di seluruh dunia.

“Kita yakin bukan sahaja UTM, malah banyak universiti awam dan universiti swasta dalam negara yang mempunyai kepakaran dan modal insan berkualiti untuk menjayakan hasrat kerajaan tersebut.

“Sebagai contoh di UTM, semasa tempoh pandemik Covid-19, UTM tetap berupaya menarik kemasukan lebih 5,000 penuntut antarabangsa dengan seramai 2,000 orang adalah penuntut dari China,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN