Liga Super: Kelantan FC terus jadi 'lauk', cacat rekod bolos terburuk

Kelantan FC terus jadi ‘lauk’, catat rekod bolos terburuk

PENJAGA gol Kelantan FC, Irfan Haikal Mohd. Iffendi terbaring selepas gawangnya dibolosi Selangor FC. -UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan FC terus menjadi ‘lauk’ dalam saingan Liga Super musim ini selepas dibelasah teruk 2-11 oleh Selangor FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Kelantan FC mencatatkan rekod bolos terburuk apabila melepaskan 87 jaringan dalam 21 perlawanan setakat ini.

Bagaimanapun, skuad kendalian Alfredo Vera terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit kelima menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Natanael Siringo sebelum Mohamad Fazrul Amir Md. Zaman menggadakan jaringan kedua pada minit ke-13 menerusi rembatan separuh voli.

Tersentak dengan dua jaringan awal tuan rumah, pelawat bangkit dan merapatkan jurang jaringan menerusi Yohandry Cujia untuk gol pertama pelawat pada minit ke-28.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe terus menggempur kubu tuan rumah dan berjaya mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-32 menerusi tandukan Shahrul Nazeem Zulpakar hasil sepakan penjuru.

 

Gergasi Merah melengkapkan kebangkitan apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-41 melalui tolakan mudah ayam tambatan mereka, Ayron Rodriguez berpunca dari sepakan penjuru.

Berselang empat minit kemudian Roriguez menambah koleksi jaringan peribadinya, kali ini melalui tandukan juga berpunca daripada sepakan penjuru untuk gol keempat Selangor.

Pasukan pelawat terus bernafsu menambah gol namun tiada lagi jaringan terhasil dan kedudukan kekal 2-4 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Selangor FC terus menambah derita The Red Warriors (TRW) selepas meledak gol kelima melalui rembatan Richmond Yiadom pada minit ke-47.

Dua minit kemudian  Faisal Halim yang baru kembali daripada penggantungan sebulan menghukum kerapuhan benteng TRW dengan satu rembatan untuk mencetak jaringan keenam skuad Gergasi Merah.

Faisal terus mempamerkan ketajaman penyudah dengan menambah koleksi jaringan peribadi kedua apabila meledakan gol ketujuh Selangor FC apabila bola lambungannya berjaya melangkaui jangkauan penjaga gawang TRW Muhammad Irfan Haikal.

Rodriguez melengkapkan jaringan hatriknya apabila merembat masuk gol kelapan Selangor pada minit ke-62 selepas menerima hantaran Yiadom dan menggelecek tiga pemain tuan rumah.

Derita TRW tidak berakhir di situ apabila Yiadom yang langsung tidak dikawal menanduk masuk gol kesembilan pelawat pada minit ke-77 sekali gus menambah koleksi jaringan peribadinya.

Memasuki minit ke-86, giliran Yiadom melengkapkan jaringan hatrik sebelum Rodriguez menyempurnakan jaringan keempat peribadinya sekali gus jaringan kemenangan Selangor musim ini.

Keputusan 2-11 itu kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan TRW yang pernah gah satu masa dahulu terus  menjadi ‘lubuk’ lawan dalam saingan musim ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya