GUA MUSANG: Kegembiraaan seorang lelaki bermandi-manda bersama rakan-rakannya yang menyertai Program Jamboree Peminat 4X4 bertukar tragedi apabila dia tergelincir dan hanyut dibawa arus di Sungai Lebir dekat Kampung Aring 6 di sini, semalam.
Mayat mangsa, Mohd. Hanafiah Abd. Hamid, 54, ditemui kira-kira pukul 5.30 petang oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang telah menerima maklumat daripada panggilan kecemasan pada pukul 5.17 petang
Menurutnya, anggota penyelamat bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati, mangsa tergelincir ketika mandi dan telah dihanyutkan arus sungai. Rakan-rakan mangsa cuba membantunya, namun gagal.
“Mangsa telah dijumpai kira-kira 13 minit berhampiran Kampung Aring 6 oleh anggota JBPM dan APM,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk proses bedah siasat.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati, kematian mangsa berpunca daripada lemas.
Ujarnya, kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Difahamkan, mangsa merupakan salah seorang peserta yang menyertai Program Jamboree Peminat 4X4 bermula semalam hingga 6 Ogos ini di Sungai Lebir. –UTUSAN