PETALING JAYA: Polis mengesahkan lelaki warga asing yang mayatnya ditemukan dalam guni di tapak besi buruk Taman Bukit Serdang, dekat sini Jumaat lalu dipercayai dipukul sehingga mati.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner ACP A. A. Anbalagan berkata, proses bedah siasat dijalankan Jabatan Forensik Hospital Serdang semalam.
Kata beliau, bedah siasat dijalankan kira-kira pukul 10 pagi sehingga 6 petang oleh doktor pakar bedah forensik hospital berkenaan.
“Hasil bedah siasat mendapati kesan pukulan pada seluruh tubuh badan mangsa yang menyebabkan punca kematian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan berkaitan kes ini.
Semalam, polis memaklumkan masalah kewangan antara menjadi punca seorang kerani warga asing dibunuh sebelum mayatnya ditemukan dalam guni tapak besi buruk Taman Bukit Serdang, dekat sini.
Difahamkan seramai 13 individu termasuk majikan mangsa terdiri daripada 10 lelaki dan tiga perempuan ditahan bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian.
Pada Jumaat lalu, satu mayat ditemukan dalam guni di tapak besi buruk Taman Bukit Serdang, dekat sini.
Penemuan mayat itu, satu panggilan daripada seorang individu diterima polis pada pukul 1.30 tengah hari memaklumkan menemukan seorang lelaki terbaring dan disyaki meninggal dunia.-UTUSAN