Lelaki dihukum penjara 38 tahun, 17 sebatan bunuh biras, cederakan individu lain - Utusan Malaysia

Lelaki dihukum penjara 38 tahun, 17 sebatan bunuh biras, cederakan individu lain

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 38 tahun dan 17 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh dan mendatangkan kecederaan parah pada 2016.

Hakim, Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Taufik Hidayah Abdullah, 34, yang merupakan seorang bekas pekerja kilang selepas perbicaraan penuh dijalankan dan didapati bersalah.

Dalam penghakimannya itu, Azman menyatakan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah atas kedua-dua pertuduhan dan keterangan saksi kedua juga menjelaskan dia telah ditetak oleh tertuduh.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun dan 12 sebatan, manakala bagi pertuduhan kedua penjara lapan tahun yang berjalan secara berasingan serta lima sebatan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bersama dua lagi individu yang sudah meninggal dunia melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki, Salman Raja Abdullah yang berusia 37 tahun ketika kejadian berlaku.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam, 7 Ogos 2016 di Jalan Besar Papan Tanda, Taman Angsamas, Mambau, di sini. 

Oleh itu, tertuduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama. 

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh telah menetak seorang lagi lelaki berusia 46 tahun sehingga mendatangkan kecederaan parah menggunakan parang berhampiran dengan pintu masuk Jalan Indah Water, Mambau.

Tertuduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama. 

Mengikut fakta kes, tertuduh yang juga pekerja kilang bersama dua rakan menetak birasnya sehingga mati dan seorang lagi lelaki sehingga mengalami kecederaan parah dengan menggunakan parang.

Ia berpunca daripada perselisihan faham selepas perbincangan mengenai isu penjagaan anak hasil perkahwinan antara tertuduh dengan adik ipar kepada si mati.

Selepas kejadian, tertuduh melarikan diri ke Kedah sebelum ditangkap pada 18 September 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly manakala tertuduh diwakili Peguam, V. Gobi. 

Terdahulu, Gobi dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara yang rendah dan sebatan minimum dengan mempertimbangkan tertuduh sudah insaf serta ingin menjaga anak yang kini berusia tujuh tahun dalam jagaan bekas isteri.

“Tertuduh tidak pernah melihat anaknya sejak enam tahun lepas,” katanya.

Bagaimanapun, Husni Fairos dalam hujahannya memohon mahkamah mengambil kira mangsa yang telah mengalami kecederaan patah pergelangan tangan dan muka sehingga menjadikan mangsa sebagai orang kurang upaya (OKU).-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya