KUANTAN: Seramai lapan sekeluarga termasuk seorang warga emas dan dua bayi di Kampung Sri Jaya, Maran, dekat sini dipindahkan kerana kediaman mereka dinaiki air.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, hujan lebat sejak malam tadi mengakibatkan air naik mendadak di kawasan kediaman mereka.
Menurutnya, operasi memindahkan keluarga terbabit dilakukan kira-kira pukul 5 pagi tadi.
“Seramai sembilan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran terbabit dalam operasi tersebut.
“Kawasan kediaman mangsa berada berhampiran klinik kesihatan Sri Jaya, Jalan Gambang – Maran dan kedalaman air di kawasan itu dianggarkan setinggi 0.5 meter,” katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, tambah Zulfadli, pasukan bomba menggunakan bot aluminium bagi proses memindahkan mangsa ke tempat selamat. – UTUSAN