Lagi laporan polis ke atas MB Kelantan

Lagi laporan polis ke atas MB Kelantan

MOHD. Ridzuan Muhammad (tengah) bersama Anuar Mohamed (kanan) mewakili PH-BN membuat laporan polis ke atas Menteri Besar Kelantan di Ibu Pejabat Polis Daerah  Pasir Mas, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional Rantau Panjang hari membuat laporan polis ke atas Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud susulan kenyataan beliau yang melabelkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas dan Kota Lama sebagai pihak yang menentang perjuangan Islam ketika menyampaikan kuliah di Medan Ilmu, di Kota Bharu pada Jumaat lalu.

Ini merupakan laporan polis kedua yang dibuat ke atas ADUN Meranti itu selepas Pemuda UMNO Kelantan berbuat demikian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu semalam.

Timbalan Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Rantau Panjang, Mohd. Ridzuan Muhamad berkata, tindakan itu diambil susulan pihaknya melihat kenyataan ADUN Meranti itu berbaur hasutan yang boleh menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Menurutnya, kenyataan tersebut juga boleh mengelirukandan menjurus ke arah fahaman takfiri dalam kalangan umat Islam.

“Saya percaya kenyataan itu boleh mengelirukan masyarakat Islam bukan sahaja di Kelantan tetapi seluruh Malaysia.

“Sebab itu kami yang mewakili PH dan Naib Ketua UMNO Rantau Panjang, Anuar Mohamed mewakili BN hadir membuat laporan polis agar pihak berkuasa dapat membuat siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas laporan polis dibuat di IPD Pasir Mas di sini hari ini.

Mohd. Ridzuan memberitahu, pada masa sama pihaknya mengesa Ketua Penerangan Pas Kelantan itu memohon maaf secara terbuka kepada ADUN Galas dan Kota Lama.

Pada Jumaat lalu, Mohd. Nassaruddin yang baru-baru beberapa hari dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang ke-19 melabelkan kemenangan gabungan BN dan PH di Galas serta Kota Lama sebagai melawan perjuangan Islam semasa menyampaikan kuliah di Dataran Ilmu, di sini.

Ucapan ADUN Meranti itu kemudian tular sehingga menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan warganet di laman sosial.

Utusan Online semalam melaporkan, Mohd. Syahbuddin Hasyim dan Dr. Hafidzah Mustakim menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Menteri Besar Kelantan yang melabelkan mereka sebagai melawan perjuangan Islam.

Kedua-dua wakil itu turut meminta ADUN Meranti memohon maaf kepada semua pengundi di Galas dan Kota Lama yang telah menyokong BN (10,742) dan PH (9,691) di kawasan berkenaan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu.

Mohd. Nassuruddin bagaimanapun menasihatkan Mohd. Syahbuddin dan Dr. Hafidzah Mustakim supaya tidak mudah ‘koyak’ dalam berpolitik selepas dilabel sebagai melawan perjuangan Islam.

Kata Mohd. Nassuruddin ucapan yang dibuat oleh beliau semasa menyampaikan kuliah di Medan Ilmu di sini jelas menyebut perihal berkait melawan perjuangan Islam dan bukan melawan Islam.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN