KUALA LUMPUR: Kraftangan Malaysia dan Royal Selangor International Sdn. Bhd (Royal Selangor) menjalinkan kerjasama strategik dua hala sebagai usaha memartabatkan industri kraf negara.
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Ramli berkata, kerjasama tersebut akan melalui inisiatif-inisiatif yang merangkumi aspek pembangunan produk, pemasaran dan promosi serta latihan.
“Melalui kerjasama strategik ini, kedua-dua pihak dapat memanfaatkan informasi dan kepakaran masing-masing bagi penghasilan produk beridentitikan budaya Malaysia khasnya dalam kraf logam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menjayakan majlis menantandangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Royal Selangor International Sdn Bhd.
Pada majlis yang sama juga, Royal Selangor mengadakan pelancaran koleksi produk terbaharu Heritage Royal Selangor yang beridentitikan Malaysia.
Hadir sama pada majlis berkenaan iaitu Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan dan Pengarah Urusan Royal Selangor International Sdn. Bhd, Yong Yoon Li.
Dalam pada itu, Ainu Sham yakin bahawa gandingan bersama Royal Selangor dapat membantu usahawan kraf mengembangkan bakat dan perniagaan mereka.
Jelasnya, hal ini kerana syarikat tersebut diketahui antara syarikat yang sangat dikenali sebagai pengeluar produk kraf piuter yang berseni.
“Kerjasama ini juga dilihat mampu membuka peluang kepada usahawan kraf bidang lain untuk bekerjasama dengan Royal Selangor dalam usaha mempelbagaikan lagi variasi produk serta memperluaskan saluran pemasaran di bawah jenama Royal Selangor,” ujarnya.
Sehubungan itu, menurut Ainu, sebagai permulaan kerjasama strategik ini, Kraftangan Malaysia akan mengadakan aktiviti demonstrasi kraf ukiran kayu, batik lukis, anyaman rotan, tenunan songket dan seramik yang dihasilkan oleh pelajar -pelajar Institusi Kraf Negara (IKN).
Katanya, ia adalah satu pengisian aktiviti yang diadakan di Royal Selangor Visitor Center pada cuti hujung minggu pada sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bermula pada hari ini sehingga 17 September nanti.
“Pihak Kraftangan Malaysia dan Royal Selangor mengharapkan aktiviti ini dapat memberi informasi dan pededahan proses pembuatan produk kraf lain kepada para pengunjung,” ujarnya.-UTUSAN