JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengenal pasti jenis sukan atau aktiviti luar kelas yang sesuai bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) untuk dijadikan silibus Sekolah Sukan Pendidikan Khas yang dijangka mula beroperasi pada 2025.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, Sekolah Sukan Khas yang dibangunkan di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan itu bertujuan membangunkan potensi sukan bagi golongan berkenaan
“Kita sudah ada sekolah-sekolah bagi murid berkeperluan khas, termasuk di Bumbong Lima, Pulau Pinang yang memberikan tumpuan terhadap pembangunan kemahiran anak-anak ini.
“Insya-Allah pada tahun 2025, kita akan mula mengoperasikan sebuah sekolah khas untuk mereka yang mempunyai potensi dalam bidang sukan, ini dinyatakan agar golongan itu juga mendapat tumpuan dalam soal pembangunan sukan.
“Kategori sukan buat masa ini kita sedang perincikan, sebab anak-anak berkeperluan khas ini mereka ada sukan tertentu. Kita akan maklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa,” katanya selepas merasmikan Karnival Outreach Inklusif dan Kebolehpasaran Madani Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Negeri Johor 2023 di pusat beli-belah Aeon Bandar Dato’ Onn, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh.
Fadhlina berkata, inisiatif itu untuk meningkatkan kemahiran golongan berkenaan supaya turut mendapat manfaat dalam bidang pendidikan.
“KPM juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi dalam meneroka bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk murid berkeperluan khas ini. Sehubungan itu, kita berharap lebih ramai pemain industri akan bersama-sama kementerian dalam memastikan potensi murid-murid berkeperluan khas ini dapat dicungkil sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN