KPJ Johor tanam 66 jenis pokok sempena Hari Kebangsaan - Utusan Malaysia

KPJ Johor tanam 66 jenis pokok sempena Hari Kebangsaan

HALIZA KHALID dan Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Selatan KPJ Healthcare Berhad, Mohd. Azhar Abdullah menanam pokok sempena program 'Hijaukan negaraku' di Hospital Pakar KPJ Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sempena sambutan Hari Kebangsaan  Ke-66 tahun, Hospital Pakar KPJ Johor tampil mencipta kelainan apabila menanam 66 jenis pokok di kawasan hospital sebagai simbolik sambutan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Haliza Khalid berkata, pihaknya tampil dengan idea menganjurkan Kempen ‘Hijaukan Negaraku’ menerusi program penanaman pokok dan sayur-sayuran pada tahun ini.

Program bermula 25 Ogos lalu hingga Hari Malaysia pada 16 September ini diadakan secara pertandingan menanam pokok yang melibatkan semua unit di hospital berkenaan termasuk doktor pakar.

“Sebanyak 66 pokok yang ditanam ini adalah simbolik bagi ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-66 setelah bebas daripada penjajah sejak 1957. Objektif program ini adalah untuk menggalakkan penglibatan warga kerja dan doktor pakar untuk sama-sama mendalami aktiviti amalan hijau dengan penanaman pokok dan menghijaukan kawasan hospital,” katanya hari ini.

Antara pokok dan sayur-sayuran yang ditanam ialah cili, petola, bayam Brazil, bendi, durian belanda, limau kasturi, bidara serta kari dan hasilnya nanti akan digunakan sebagai bahan masakan oleh Unit Dietari KPJ Johor untuk disajikan kepada pelanggan dan pesakit.

Hingga kini, hampir 100 pokok dan sayur-sayuran pelbagai jenis telah ditanam di kawasan hospital hasil pelbagai sumbangan menerusi program pertanian bandar dan kitar semula sisa makanan sejak Jun lalu.

Haliza memberitahu, bagi pertandingan kempen ‘Hijaukan Negaraku’ ini, pemenang akan dipilih berdasarkan cara penjagaan dan kesihatan pokok serta semangat kerjasama berpasukan dalam unit berkenaan.  

Usaha murni itu turut melibatkan kerjasama dengan pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi program pertanian bandar dan kitar semula sisa makanan bagi menghasilkan baja kompos.

“Menyedari hakikat bahawa sisa makanan antara penyumbang kepada sisa domestik kepada bandar ini, inisiatif ini diharap dapat menyumbang kepada pengurusan sisa yang lebih sistematik, sekali gus dapat dimanfaatkan demi kelestarian alam sekitar.

“Projek ini juga dilihat berupaya menonjolkan kerjasama KPJ Johor dan UTM sebagai pusat rujukan utama bagi program membudayakan kelestarian berkaitan aktiviti pertanian berkonsepkan pengkomposan dan pertanian bandar secara tak langsung menjadi ejen perubahan gaya hidup lestari dalam kalangan Kumpulan KPJ Healthcare Berhad,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya