Kifarah bagi Bersatu, Pas kerana aniaya UMNO - Nur Jazlan - Utusan Malaysia

Kifarah bagi Bersatu, Pas kerana aniaya UMNO – Nur Jazlan

Nur Jazlan Mohamed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dakwaan bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak dapat berbelanja besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri ini kerana akaun milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibekukan adalah kifarah bagi gabungan itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, situasi kewangan dihadapi PN ketika ini adalah balasan terhadap perbuatan mereka yang membekukan akaun UMNO sebelum ini dan balasan akibat tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Pengerusi PN, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang melakukan pendakwaan terpilih terhadap kepimpinan UMNO.

“Nampaknya PRN kali ini tak semeriah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas. Sudah hilang serinya apabila PN tak lagi galak berkempen besar-besaran, perang poster dan benda mereka juga kurang dan ‘content’ dalam media sosial pun sendu.

“Tak ada lagi video TikTok, Abah Muhyiddin seronok berjoget sambil nyanyi ‘swipe-swipe’. Muhyiddin sekarang ini lebih ‘senyap-senyap’. Kalau masa PRU15, berlambak bahan kempen PN baik dalam media sosial, iklan dalam akhbar dan sepanduk di segenap tempat.

“Tapi PRN kali ini semua sendu. Sebabnya bila Muhyiddin dan beberapa orang pemimpin Bersatu kantoi kes dana Jana Wibawa, maka akaun parti itu pun dibekukan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk siasatan. Dana Jana Wibawa yang dulunya geng PN termasuk Pas ini berjoli katak kini sudah tak ada,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai turut mengaku sedih apabila mendengar kenyataan Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir bahawa calon PN terpaksa bersengkang mata dan mengalirkan air mata mencari dana untuk berkempen.

“Kata Roslan, masalah kewangan PN berlaku sebab akaun Bersatu kena beku sampaikan parti sekutu Pas itu tak boleh lagi beri duit belanja besar. Jadi, benarlah cerita sebelum ini yang dakwa Bersatu memang jadi ‘banker’ kepada Pas.

“Patutlah sejak Pas jalin hubungan dengan Bersatu mereka dilihat hidup mewah. Belanja Pas masa PRU15 pun bukan kecik-kecik anak. Siap boleh beli undi, buat jamuan besar di setiap bilik gerakan kempen mereka.

“Rupanya selama ini Bersatu ‘sponsor’ segala makan, pakai dan keperluan Pas. Muhyiddin manjakan Hadi dan gengnya dengan duit daripada Jana Wibawa sampai puak lebai lupa diri sehingga sanggup keluarkan macam-macam fatwa untuk serang UMNO dan sebab itulah pemimpin Pas terutamanya Hadi Awang cukup sayangkan Bersatu hingga sanggup khianati UMNO dalam Muafakat Nasional (MN). Nampaknya memang betul lebai Pas pun boleh dibeli dengan duit, asal ada ongkos apa pun boleh jadi,” dakwanya.

Justeru, kini Bersatu dan Pas merasakan pula kesukaran apabila terkena kepada mereka.

“Biarlah Muhyiddin cari cara lain untuk perkudakan Pas sepanjang PRN ini. Yalah, Bersatu pun bukannya ada jentera kempen, semuanya mereka harapkan walaun-walaun Pas untuk buat kerja kempen calon PN terutamanya calon Bersatu.

“Pas pun saya dengar cerita dah mula balik tadah tabung tin milo yang bertahun-tahun mereka simpan dalam gobok (almari). Bila ‘sugardaddy’ Muhyiddin dah tak ada duit, maka Adinda Hadi kenalah kembali minta sedekah untuk sara diri dan keluarga. Nasib badan la nak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN