Kesetiaan utama wakil rakyat untuk negeri bukan parti politik - Tuanku Muhriz - Utusan Malaysia

Kesetiaan utama wakil rakyat untuk negeri bukan parti politik – Tuanku Muhriz

TUANKU Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini.-GAMBAR/JABATAN PENERANGAN NEGERI SEMBILAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengingatkan kepada semua wakil rakyat di negeri ini yang telah dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu untuk memberikan fokus dan keutamaan kepada kepentingan serta perkhidmatan untuk rakyat negeri ini.

Baginda menegaskan, kesetiaan utama mereka adalah untuk negeri dan bukannya kepada mana-mana parti politik ataupun keperluan peribadi.

“Beta mengingatkan semua wakil rakyat yang telah dipilih, bahawa kamu telah diamanahkan oleh rakyat untuk menyuarakan segala permasalahan serta keperluan mereka dalam merangka dan melaksanakan sesuatu dasar atau keputusan. 

“Justeru, fokus dan keutamaan kamu adalah kepada kepentingan dan perkhidmatan untuk rakyat negeri ini. Ini kerana kesetiaan utama kamu ialah untuk negeri, bukannya kepada mana-mana parti politik ataupun keperluan peribadi.

“Negeri ini amat memerlukan pemimpin yang beramanah tinggi, bermaruah tinggi dan berpendirian tinggi, dalam Bahasa Inggeris, persons of honour sesuai dengan gelaran Yang Berhormat yang kamu terima. Menyalahgunakan kuasa dan kedudukan yang ada akan menjurus kepada ketidakadilan serta kerapuhan pelaksanaan sesuatu dasar yang telah dirangka untuk kebaikan rakyat,” titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus di Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.

Pada istiadat itu, baginda melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Baginda dalam pada itu turut mengucapkan tahniah kepada semua wakil yang telah dipilih oleh rakyat untuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dalam PRN yang berlangsung 12 Ogos yang lalu.

“Alhamdulillah, proses pilihan raya telah berjalan dengan lancar tanpa kekacauan dan kekecohan yang serius. Di kesempatan ini juga, Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada bekas Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-ahli  Majlis Mesyuarat Kerajaan yang telah memberikan khidmat pada penggal yang lepas. 

“Kepada calon yang tidak dipilih dalam pilihan raya kali ini, Beta berharap kamu semua terus  menabur bakti dan sumbangan kepada masyarakat,” titah baginda lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya