Kerajaan Pusat perlu bantu pulih Tasik Chini

Kerajaan Pusat perlu bantu pulih Tasik Chini

Pemandangan udara Tasik Chini dari Kampung Gumum yang merupakan salah satu perkampungan orang asli di Pekan, Pahang. -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang memerlukan peruntukan khas daripada Pusat untuk memulihkan Tasik Chini di Pekan agar fungsi semula jadinya sebagai biosfera kekal lestari.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Johari Harun berkata, usaha memulihkan tasik kedua terbesar negara itu perlu dilakukan selepas ia kekal sebagai Tapak Rizab Biosfera di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Saya melihat memang Tasik Chini perlu dipulihkan. Cumanya, ia memerlukan peruntukan khas dari kerajaan Pusat sama ada melalui Jabatan Warisan untuk kita melaksanakan proses pemulihan.

“Berapa jumlah bajet diperlukan itu ia memerlukan kajian terperinci supaya peruntukan disalurkan nanti dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi memulihkan Tasik Chini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

JOHARI HARUN

Pada 14 Jun lalu, Tasik Chini berjaya mengekalkan status Tapak Rizab Biosfera di bawah UNESCO yang diperoleh pada 2009.

Ia diputuskan dalam mesyuarat Majlis Penyelarasan Antarabangsa ‘Man and the Biosphere Programme’ (ICC MAB35) kali ke-35 di Paris.

Suatu ketika dahulu Tasik Chini merupakan lokasi cukup tenang dan damai yang menjadi habitat 138 spesies flora serta 300 spesies hidupan bukan akuatik.

Tasik Chini juga pernah merekodkan 144 spesies ikan air tawar hidup dalam tasik berkenaan.

Namun, ketenangan itu ‘hilang’ ekoran kerakusan manusia hingga menyebabkan ia musnah dan terus dibiarkan tidak terurus sehingga kini tanpa usaha pemulihan konkrit.

Mengulas lanjut, Johari berkata, selain bajet khas, sebuah badan khusus perlu diwujudkan bagi menguruskan dan mengawal selia proses pemulihan Tasik Chini.

“Dua perkara ini saya lihat cukup penting iaitu bajet khas dari kerajaan Pusat dan badan khusus bagi mengawal selia. Mungkin ia boleh diletakkan di bawah Majlis Biodiversiti Pahang,” katanya.

Ditanya tentang Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tasik Chini (Pengubahan), beliau berkata, ia siap disediakan selaras peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan sudah pun diluluskan.

Menurutnya, RKK itu akan menjadi panduan khusus kepada agensi pelaksana dalam menjalankan kerja-kerja pemuliharaan dan pemeliharaan terutama bagi kawasan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini.

“Pelaksanaan program pengurusan, pemeliharaan dan pengekalan adalah penting bagi memastikan tasik dan kualiti persekitaran yang sensitif di kawasan tasik berkenaan terus terpelihara,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya