SEREMBAN: Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak akan tergugat walau apa juga keputusan yang diperoleh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri pada 12 Ogos ini.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan Persekutuan pada hari ini telah ditubuhkan dengan majoriti dua pertiga iaitu sebanyak 148 kerusi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau menambah, kedudukan kerajaan juga semakin kukuh apabila Parlimen meluluskan Akta Anti Lompat Parti.
“Tidak macam dahulu, boleh dibeli, boleh melompat, sekarang ini tidak boleh melompat lagi, kalau mahu ubah sokongan seluruh parti tersebut keluar daripada kerajaan, itu boleh, kalau seorang-seorang tidak boleh. Kalau didapati keluar mengundi parti lain semasa di dalam Parlimen, itu pun tidak boleh.
“(Oleh itu) kerajaan Persekutuan tidak akan tergugat langsung walau apa juga keputusan PRN di enam buah negeri ini,” katanya.
Mohamad yang juga calon BN di DUN Rantau berkata demikian dalam program Sesi Dialog Bersama Penduduk Kampung Bemban, Rantau di sini semalam.
Timbalan Presiden UMNO itu ditanya oleh salah seorang hadirin sama ada kerajaan Persekutuan sekiranya enam negeri yang menghadapi PRN kali ini dikuasai oleh pembangkang.
Sementara itu, semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sewaktu berucap pada Majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best Bersama Presiden Pas di Bandar Sri Sendayan di sini terus mendakwa keputusan yang memihak kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRN di enam buah negeri akan membawa perubahan kepada kerajaan di peringkat Pusat.
Sehubungan itu jelas beliau, adalah penting untuk peratusan keluar mengundi khususnya dalam kalangan pengundi Melayu adalah tinggi bagi membolehkan PN menang di enam buah negeri terbabit.
“Pilihan raya negeri enam negeri ini sangat penting untuk menangkan PN, perlu menang besar, insya-Allah kita menang sepenuhnya di Kedah, Kelantan dan Terengganu, kita mahu menang juga di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Kalau menang ini akan berlaku perubahan di kerajaan Pusat, itu maknanya maka kewajipan mengundi sangat besar,” katanya.
Pengerusi BN Negeri Sembilan yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika ditemui pemberita selepas majlis itu turut mendakwa ada proses undang-undang di negara ini yang membolehkan perubahan kerajaan di peringkat Pusat itu berlaku
“Macam-macam cara, walaupun negara kita ada anti lompat parti, tetapi ada proses undang-undang yang boleh dijalankan untuk menukar sesebuah kerajaan, begitu juga dengan kerajaan negeri yang lain, ada proses perundangan mengikut Perlembagaan yang boleh dibuat,” katanya.-UTUSAN.